
Elephone U Pro Dengan Skrin AMOLED Melengkung Ini Mampu Memikat Hati Anda

Skrin melengkung AMOLED sebelum ini hanya boleh didapati secara eksklusif pada peranti Samsung dan LG sahaja. Hari ini Elephone mengumumkan mereka juga tampil dengan peranti skrin melengkung melalui Elephone U Pro. Telefon pintar ini hadir dengan paparan 5.99-inci AMOLED beresolusi HD penuh+ dengan nisbah 18:9 di depan.

Dikuasakan oleh cip pemproses pertengahan Snapdragon 660 terbaru, ia juga ditemani RAM sebesar 6GB dan storan seluas 128GB. Panel belakang yang dibina berasaskan kaca berkilau menempatkan dwi kamera 13 Megapiksel yang menyokong rakaman latar belakang kabur (bokeh), PDAF, dan Super Night Image, khusus untuk penggambaran di malam hari.

Telefon pintar ini juga menawarkan ciri pengecaman wajah Face ID dan pengimbas cap jari untuk sistem keselamatan. Menurut Elephone fungsi pengecasan pantas membolehkan bateri dipenuhkan hanya dalam masa 1 jam 30 minit sahaja. Peranti ini turut dioperasikan oleh Android 8.0 Oreo asli tanpa antaramuka daripada pengeluar.

Elephone U Pro dijangka akan dipasarkan pada harga di bawah $500 (kira-kira RM1,981) bermula bulan ini. Bagaimanapun, tiada perkembangan lanjut mengenai ketersediaannya untuk pasaran Malaysia.

