Acer Swift 3 Lebih Lancar Dengan Pemproses Generasi Ke-8

Selaku pengeluar komputer riba terkemuka dunia, Acer tidak putus-putus memperkenalkan produk-produk terbarunya. Model yang dikenali dengan nama Swift 3 hari ini diumumkan hadir dengan rekaan perkakasan yang lebih baik termasuklah pemproses Generasi ke-8 yang lebih jimat kuasa.

Acer Swift 3 kini didatangkan dengan kerangka badan aluminium setebal 17.95mm sahaja. Laptop yang ringan ini juga dipadankan dengan paparan IPS 14 dan 15.6 inci HD penuh yang mengasyikkan.

Tugasan harian tidak lagi membebankan kerana ia turut dikuasakan oleh CPU yang lebih menjimatkan kuasa di samping sistem grafik dipertingkatkan untuk memberikan pengalaman multimedia ke tahap yang lebih tinggi.

Jangka hayat bateri juga boleh dikatakan baik kerana Acer Swift 3 mampu bertahan sehingga 10 jam penggunaan dengan sekali pengecasan. Sambungan internet tiga kali lebih pantas dengan teknologi tanpa wayar 2×2 MU-MIMO 802.11ac. Peranti ini juga menyediakan ruang memori sehingga 8GB dan 256GB pemaju keadaan pepejal (SSD).

Untuk sistem keselamatan pula, Swift 3 dilengkapi Acer Fingerprint Reader atau lebih umum dipanggil pengimbas cap jari biometrik. Pengimbas yang kecil ini diletakkan di bahagian bawah papan kekunci. Selain itu, perisian di dalam Acer Swift 3 ini dioperasikan oleh Windows 10 di samping bantuan akses pintar Windows Hello.

Ciri lain yang terdapat pada Acer Swift 3 ialah satu port USB 3.1 Type-C, kamera sesawang HDR, papan kekunci dengan lampu latar, dan pad sesentuh sebesar 72mm. Harga untuk komputer riba ini ialah RM3,399.

You might also like