
CES 2018 : Sony Umum TV 4K HDR Baharu Dengan Siri A8F (OLED) Dan X9000F (LCD)
Bersempena dengan acara CES 2018, Sony telah mengumumkan kemunculan TV 4K HDR terbaru keluarannya yang menjanjikan kontras, warna serta kejelasan paparan yang lebih baik melalui siri A8F dan juga X900F. Kedua-dua siri ini menyokong teknologi paparan yang berbeza iaitu OLED untuk siri A8F dan LCD untuk siri X9000F.
Sony 4K HDR OLED TV Siri A8F
Paparan panel OLED pada siri A8F bukan sahaja menjanjikan kontras serta sudut pandangan yang lebih luas, tetapi ia juga turut dilengkapi dengan pemproses 4K HDR Processor X1 Extreme bagi memastikan pengalaman tontonan kandungan 4K HDR yang terbaik. Keunikan teknologi Acoustic Surface juga menjanjikan unifikasi yang lebih sempurna antara gambar dan bunyi kerana bunyi audio dihasilkan terus pada permukaan skrin.
Diperkenalkan dalam dua saiz skrin iaitu 55 inci dan 65 inci, siri A8F ini turut membawakan teknologi terbaik seperti TRILUMINOS Display bagi mendapatkan paparan warna lebih tepat, HDR 10, Hybrid Log-Gamma, Dolby Vision dan juga 4K X-Reality PRO untuk kejituan imej yang lebih baik. Dengan rekaan yang minimalis, siri A8F turut dilengkapi dengan fungsi Android TV untuk mengakses pelbagai kandungan tanpa sempadan.
Sony 4K HDR LCD TV Siri X9000F
Berbeza dengan siri A8F, siri X9000F yang menggunakan paparan LCD ini menyokong pilihan saiz skrin yang lebih banyak iaitu 49 inci, 55 inci, 65 inci, 75 inci dan juga 85 inci. Sungguhpun begitu, ia masih membawakan teknologi yang sama iaitu menyokong pemproses 4K HDR Processor X1 Extreme, TRILUMINOS Display, 4K X-Reality PRO, HDR 10, Hybrid Log-Gamma, Dolby Vision, dan juga dilengkapi dengan fungsi Android TV.
Bagi memastikan paparan yang lebih baik, siri X9000F turut disediakan dengan teknologi X-tended Dynamic Range PRO bagi memperbaiki paparan kandungan HDR dan bukan HDR dengan meningkatkan atau mengurangkan tahap pencahayaan bagi setiap zon tertentu pada skrin. Manakala sokongan X-Motion Clarity pula merupakan teknologi yang mampu mengurangkan efek kabur ketika adegan yang pantas dipaparkan pada skrin. Ia turut didatangkan sekali dengan soundbar yang dilengkapi dengan keupayaan Dolby Atmos.


