
Telco Mampu Menyembunyikan Kekuatan Isyarat Peranti Bermula Dengan Android P
Berapa bar yang dipaparkan pada ikon isyarat rangkaian sebenarnya tidak begitu tepat untuk menentukan kekuatan isyarat yang diterima. Jadi dengan menggunakan peranti Android, pengguna boleh mendapatkan bacaan yang lebih tepat melalui sokongan fungsi untuk melihat kekuatan isyarat numerik menggunakan unit dBm atau asu.
Untuk mengakses fungsi ini, pengguna peranti Android hanya perlu mengakses menu Settings > About Phone > Status > SIM Status. Namun berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi oleh XDA melalui dokumentasi di Android Open Source Project, pihak telco boleh menentukan sama ada ingin berkongsi maklumat tersebut dengan pengguna ataupun tidak bermula dengan Android P nanti.
Buat masa ini masih belum ada sebarang sebab didedahkan kepada umum mengapa fungsi ini cuba diimplementasikan ke atas platform Android pada masa akan datang. Namun apa yang pasti, pemilik Android sebenarnya masih mempunyai alternatif lain untuk mengakses fungsi tersebut dengan menggunakan bantuan aplikasi pihak ketiga di Play Store.



