
Samsung Galaxy A8 (2018) Dan A8+ (2018) Dilancarkan Dengan Dwi Kamera Depan, Infinity Display
Samsung hari ini mengumumkan dua peranti terbaru di bawah keluarga A iaitu Galaxy A8 dan Galaxy A8+. Kedua-dua peranti ini dikatakan mewakili kelas pertengahan-atas untuk barisan telefon Samsung seawal tahun hadapan.

Pada kali ini, siri-A tidak lagi menggunakan butang home di bahagian depan sebaliknya menggantikan dengan paparan Infinity Display. Dengan nisbah 18:9, A8 dipadankan dengan skrin 5.6” manakala A8+ menggunakan skrin 6” yang melengkung. Resolusi FHD+ pada siri-A kali ini juga adalah yang pertama menyokong Gear VR.
Menariknya, Galaxy A8 dan A8+ dilengkapi kombinasi dwi kamera depan 16MP + 8MP untuk swafoto yang membawakan ciri Live Focus. Sekaligus, pengguna juga boleh mendapatkan gambar berlatar belakang kabur ketika berswafoto.

Selain itu, kamera utama pada peranti ini dibekalkan dengan sensor 16 Megapiksel f/1.7 yang telah ditambah baik dari versi terdahulu. Manakala, untuk rakaman video ia lebih stabil dengan tekonologi DIS (penstabilan imej digital).
Ciri tambahan lain yang turut dimasukkan ialah kerangka badan kalis air IP68, sokongan Samsung Pay, dan pengecasan pantas USB-C. Bateri yang dimuatkan pada A8 dan A8+ adakah sebesar 3,000mAh dan 3,500mAh.

Kedua-dua telefon pintar ini dioperasikan Android 7.1 Nougat terus dari kotak, dan difahamkan akan mula dipasarkan di Malaysia pada Januari 2018 depan.

