
Laptop LG Gram Terbaru Akan Diperkenalkan Di CES 2018
Pada pameran elektonik CES 2018 yang akan berlangsung tahun hadapan, LG dilaporkan bakal memperkenalkan barisan laptop terbaru mereka di bawah keluarga Gram. Bermula pada tahun 2014, model Gram telah dilancarkan dengan ciri-ciri sebuah laptop mudah alih yang ringan dan berkuasa.

Jadi untuk memantapkan lagi produk laptop kali ini, LG Gram akan menerima tambah baik dari segi keseluruhan termasuklah reka bentuk, perkakasan dalaman, dan ciri-ciri tambahan yang lain. Apa yang ingin diketengahkan ialah, rekaan yang amat nipis ini tidak terhad dengan kapasiti bateri. LG Gram akan dibekalkan bateri sebesar 72Wh yang mampu bertahan lebih lama.
LG Gram yang kompak ini didatangkan dengan dua varian berbeza, satunya hadir dengan skrin bersaiz 13 inci, dan satu lagi bersaiz 14 inci. Kedua-duanya memiliki bingkai yang nipis disamping papan kekunci yang berlampu ambien. Perkakasan dalam dikuasakan oleh cip pemproses generasi ke-8 Intel Core i7 dan Core i5 bersama storan SSD yang turut menyokong ruangan slot SSD yang kedua.

Binaan kerangkan badan berasaskan gentian karbon Nano dan logam aero-angkasa juga berupaya menahan impak hentakan, tekanan, suhu, malahan, telah diiktiraf oleh U.S Military MIL-810G.
LG Gram akan mula ditawarkan di AS bermula bulan hadapan. Bagaimanapun, untuk pasaran negara lain ia akan menyusul tidak lama lagi.

