
Huawei Mate 9 Dan Mate 9 Pro Mula Menerima Kemas Kini Android Oreo
Selepas kemunculan siri Huawei Mate 10 bulan Oktober yang lalu, Huawei juga telah memperkenalkan sistem antaramuka baharu iaitu EMUI 8.0 dan sistem operasi Android 8.0 Oreo.
Seperti yang dijanjikan oleh pihak Huawei, beberapa peranti lain bakal menerima sistem operasi terbaru ini dalam kemas kini akan datang. Kali ini, ia telah mula diterima oleh pengguna di siri Huawei Mate 9 (termasuk Porsche Design) terlebih dahulu.

Pada tahun lalu siri Huawei Mate 9 dilancarkan dengan EMUI 5.0 di mana dioperasikan berasaskan Android 7.0 Nougat. Huawei juga difahamkan tidak menggunakan nombor 6 dan 7 sebaliknya terus meloncat kepada nombor 8 kerana ingin menyeragamkan versi 8.0 pada Android.
Bagaimanapun, kemas kini ini membawakan sejumlah ciri-ciri menarik iaitu ciri kecerdasan pintar (AI) sama seperti yang terdapat pada siri Mate 10. Ia merupakan pembantu maya dengan arahan suara, pengalihan suara dan bahasa mengikut waktu sebenar.

Versi terbaru ini turut ditawarkan dengan fungsi baru dikenali sebagai Easy Projector. Kini pengguna boleh berinteraksi dengan telefon di monitor melalui sambungan USB Type-C sahaja.
Buat masa ini, kemas kini Android O untuk Huawei Mate 9 dan Mate 9 Pro ditawarkan kepada pengguna di China dan berkemungkinan akan mula bertemu pengguna di negara lain pada masa akan datang.

