

Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini telah mengeluarkan amaran kepada orang ramai agar tidak tertipu dengan sindiket yang mendakwa menghubungi dari TM ataupun agensi kutipan. Ini kerana ada di antara pelanggan TM telah menerima rakaman panggilan suara interaktif (IVR) yang meminta mereka untuk menekan 9 untuk bercakap dengan kakitangan perkhidmatan pelangan bagi mendapatkan maklumat sensitif pelanggan.
Pihak TM juga telah menekankan bahawa prosedur pengurusan kredit dengan modus operandi sebegini adalah bersifat penipuan dan tidak mempunyai kaitan dengan TM. Bagi pelanggan yang telah mendaftar untuk perkhidmatan Autopay TM, jumlah yang terhutang akan secara automatik akan dicaj ke kad kredit atau akaun bank berdaftar masing-masing sebelum tarikh tamat tempoh yang ditetapkan.

TM juga menegaskan bahawa pembayaran untuk perkhidmatan TM hanya boleh dibuat terus ke TM melalui saluran pembayaran rasmi dan bukan melalui akaun peribadi atau agensi kutipan yang mewakili TM. Bagi memastikan keselamatan yang optimum, TM menggalakkan pelanggan untuk mendaftar dan menggunakan perkhidmatan e-bil.

