
Apple Akan Menggunakan Modem Keluaran MediaTek Untuk iPhone 2018?!

Pertikaian antara Apple dengan Qualcomm sehingga melibatkan pemfailan saman antara kedua-dua pihak yang disebabkan oleh pelanggaran hak intelektual dan juga pengharaman jualan iPhone sememangnya memberi kesan yang agak besar. Qualcomm yang sebelum ini menjadi pembekal untuk perkakasan modem yang digunakan pada iPhone, dikatakan akan digantikan dengan pembekal yang baru iaitu MediaTek.
Berdasarkan kepada laporan yang dikeluarkan oleh DigiTimes, Apple kini sedang mempertimbangkan penggunaan modem yang akan dihasilkan oleh MediaTek untuk keluaran iPhone bermula tahun 2018 nanti. Pemilihan MediaTek ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Apple untuk terus menghentikan penggunaan modem dari Qualcomm yang mana sebelum ini telah dikurangkan dengan penggunaan modem dari Intel.

Menurut sumber itu lagi, pemilihan MediaTek dibuat memandangkan ia mempunyai keupayaan untuk membekalkan kapasiti yang mencukupi, di samping turut memiliki teknologi penghasilan modem serta kelebihan dari aspek harga. Malah melalui kerjasama antara Apple dengan MediaTek ini juga dilihat mampu diperluaskan lagi bukan setakat modem kerana MediaTek juga merupakan peneraju dalam penyelesaian rantaian bekalan yang lain seperti speaker pintar dan juga peranti pengecasan tanpa wayar.

