6 Ciri-Ciri Menarik Tentang honor 7X

Hari ini honor Malaysia telah menjemput eRing untuk menghadiri satu bengkel ringkas bagi mendedahkan model terbaru keluarannya iaitu honor 7X yang sudahpun dilancarkan secara rasmi di China pada Oktober 2017 yang lalu. Sebagaimana yang anda sedia maklum, honor 7X merupakan peranti pertama keluaran honor yang menampilkan sokongan skrin dengan nisbah paparan 18:9 yang menjadi trend pada masa kini. Sebagaimana model honor 6X yang menjadi peranti pertama dari honor yang menampilkan sokongan dwi lensa, honor 7X juga dilihat masih mengekalkan sokongan sistem dwi kamera. Jadi sebelum itu apa kata kita lihat terlebih dahulu apakah ciri-ciri menarik yang ditawarkan pada honor 7X ini…

1. Kerangka logam sepenuhnya

honor 7X kini telah menampilkan rekaan kerangka logam unibodi yang kelihatan jauh lebih premium. Ini jelas dapat dilihat melalui penggunaan logam sepenuhnya pada bahagian panel belakang kerangkanya, yang mana sebelum ini honor telah menggunakan kombinasi rekaan antara logam dan plastik pada bahagian atas dan bawah kerangka honor 6X.

2. Skrin 5.93 inci dengan paparan 18:9

Walaupun tampil dengan saiz kerangka yang sama seperti kebanyakan peranti dengan sokongan skrin sebesar 5.5 inci, honor 7X dilihat menampilkan saiz skrin yang jauh lebih besar iaitu mencecah sehingga 5.93 inci dengan resolusi FHD+ (1080 x 2160 piksel). Menurut honor, penggunaan nisbah paparan 18:9 pada honor 7X mampu menawarkan paparan yang lebih luas iaitu mencecah sehingga 13% berbanding paparan skrin dengan nisbah 16:9.

3. Sistem kamera dwi lensa

Pemilik honor 7X kini berupaya menikmati mod Portrait bagi mendapatkan kesan bokeh yang menarik melalui penyediaan sistem kamera dwi lensa beresolusi 16 Megapiksel + 2 Megapiksel. Malah dengan penambahbaikan pada algoritma teknologi PDAF, honor 7X menjanjikan masa fokus yang jauh lebih pantas.

4. Swafoto 8 Megapiksel lebih menarik

Sokongan kamera swafoto 8 Megapiksel pada honor 7X telah dipertingkatkan lagi keupayaannya dengan penambahan fungsi menarik iaitu Effects yang membolehkan pengguna untuk memasukkan efek beranimasi mirip seperti Snapchat. Selain itu ia juga turut menyokong fungsi Portrait Selfie dengan efek bokeh dan juga Gesture Control untuk mengaktifkan fungsi pemasa menggunakan gerakan tapak tangan.

5. Prestasi berkuasa

honor 7X menjanjikan prestasi yang terbaik di dalam kelasnya kerana ia menawarkan sokongan pemproses lapan teras dari HiSilicon Kirin 659 dengan kelajuan 2.36GHz, memori dalaman sebesar 64GB, RAM 4GB, dan dioperasikan oleh EMUI 5.1 yang berasaskan daripada Android 7.0 Nougat.

6. Bateri 3,340 mAh

Dengan rekaan yang nipis iaitu hanya 7.6mm, honor 7X telah dilengkapi dengan bateri berkapasiti 3,340 mAh. Kehadiran teknologi penjimatan bateri yang tersedia pada cipset 16nm dan juga sokongan Ultra Power Saving Mode juga mampu menjanjikan ketahanan bateri yang lebih baik agar mampu bertahan lebih lama dengan hanya satu cas.

“NANTIKAN REVIU EKSKLUSIF DARI ERING!”

You might also like