RugGear Tembusi Pasaran Malaysia Dengan Tiga Peranti Android Tahan Lasak Untuk Segmen Perniagaan

Setiap hari lebih dari 100,000 smartphone rosak disebabkan oleh air dan 95% daripada smartphone tidak boleh digunakan akibat daripada insiden yang tidak diduga. Jadi jika anda inginkan sebuah peranti pintar yang memiliki ciri-ciri tahan lasak, RugGear telah menawarkan tiga peranti Android terbarunya untuk pasaran tempatan dengan pelancaran model RG160, RG310 dan juga RG730. Berbeza dengan peranti pintar sedia ada di pasaran, RugGear disasarkan khusus untuk organisasi atau syarikat yang memerlukan peranti tahan lasak terutamanya industri berat yang melibatkan persekitaran yang lasak.

RugGear RG160

Ketiga-tiga model RugGear terbaru ini telah menerima pengiktirafan ketenteraan MIL-STD 810G bagi memastikan kesesuaian penggunaannya dalam persekitaran ekstrem. Malah RugGear juga telah menguji peranti keluarannya agar kalis air pada kedalaman sehingga 2 meter selama 30 minit, kalis debu serta partikel mikro, berupaya digunakan pada suhu ekstrem antara -20°C hingga 60°C, dan juga tahan dari hentakan.

RugGear RG310

Selain daripada itu, peranti pintar keluaran RugGear turut menawarkan perkhidmatan langganan fungsi BPER Push-To-Talk (PTT) dengan antaramuka kawalan yang intensif. Malah ia turut dipasang dengan aplikasi Microsoft Dynamics 365, sekaligus menjadikannya sebagai peranti serba lengkap sesuai sebagai alat komunikasi dan juga alat pengurusan perniagaan untuk penggunaan komersial.

RugGear RG730

Peranti pintar RugGear untuk pasaran Malaysia telah diedarkan secara rasmi oleh Compunation Technology Sdn Bhd, dan sudah boleh didapati di pasaran di seluruh Malaysia. RugGear RG160 dijual pada harga RM799, RugGear RG310 berharga RM1299, manakala model RugGear RG730 pula dijual pada harga RM2299.

You might also like