Lenovo Memperkenalkan K8 Note Dengan Kehadiran Dwi Kamera, Bateri 4,000mAh

Bulan-bulan yang lepas, Lenovo dilihat sibuk memperkenalkan model-model terbaru dari Motorola, iaitu sebuah anak syarikat yang menaung dibawahnya. Kali ini, giliran Lenovo pula menampilkan K8 Note di pasaran India walaupun jenama ini berasal dari China.

Lenovo K8 Note didatangkan bersama paparan LCD bersaiz 5.5 inci 1080p, skrin 2.5D dengan berat 180 gram. Pembangun meletakkan cip MediaTek Helio X23 sebagai pemproses dan memori RAM sebanyak 3GB serta ruang storan 32GB. Selain itu, Lenovo juga mengeluarkan satu lagi varian dengan RAM lebih tinggi iaitu 4GB dan ROM 64GB.

Walaupun menduduki kelas pertengahan, K8 Note turut dibekalkan dengan sistem dwi kamera 13 Megapiksel dan 5 Megapiksel untuk efek bokeh. Sementara sensor 13 Megapiksel pula diletakkan di kamera depan bersama bantuan LED flash. Peranti ini juga dijana Android 7.1.1 Nougat dengan bekalan kuasa daripada bateri berkapasiti 4,000mAh yang menyokong pengecasan pantas Turbo Charge. Ciri lain pada Lenovo K8 Note juga menyediakan dua slot SIM, panel depan dilindungi Gorilla Glass 3, kalis percikan air, speaker Dolby Atmos, dan radio FM.

Lenovo K8 Note akan dijual di laman e-dagang Amazon India bermula 18 Ogos ini dengan warna Venom Black dan Fine Gold pada harga INR12,999 (lebih kurang RM873) untuk varian 3GB/32GB manakala, varian 4GB/64GB pada harga INR13,999 (kira-kira RM940) seunit. Bagaimanapun, Lenovo masih belum mengeluarkan kenyataan tentang penjualan ini di luar India.

You might also like