
Nubia secara rasminya telah melancarkan tiga peranti terbaru mereka iaitu Nubia M2, M2 Lite dan N1 Lite di Malaysia sebentar tadi yang mensasarkan pengguna tempatan dengan menawarkan telefon pintar kelas pertengahan dengan harga yang kompetitf.
Nubia M2
Model yang diketengahkan ini hadir dengan kerangka unibodi logam dengan ketebalan hanya 7mm sahaja. Set cip Nubia M2 menggunakan Qualcomm Snapdragon 625 MSM8953 lapan teras 2GHz bersama RAM sebanyak 4GB, storan 64GB menyokong kad microSD sehingga 200GB, dan dioperasikan oleh Android 6.1 Marshmallow.
Kamera swafoto pula menggunakan 16 Megapiksel ISOCELL CMOS f/2.0, sementara dua buah kamera 13 Megapiksel sensor SONY CMOS (RGB + monochrome) bersama aperture f/2.2 dan lensa sudut lebar 80 darjah diletakkan di bahagian belakang menjadikan ia berfungsi sebagai dwi kamera.
Selain itu, ciri 3D Stereo dapat menangkap gambar tiga dimensi bersama ciri Potrait Mode membolehkan foto bokeh diambil. Tambahan, ciri Clone Camera 2.0 pula dapat membantu dalam menyunting rakaman serta ia menyokong rakaman sehingga kualiti 4K. Semua fungsi yang terdapat pada kamera ini telah menggunakan teknologi NeoVision serta dipaparkan pada skrin sentuh 5.5 inci 2.5D Super AMOLED Corning Gorilla Glass.
Antaramuka dijana oleh Nubia UI 4.0 dengan kapasiti bateri sebesar 3,630mAh, turut menyokong pengecasan pantas 18W. Pembesar suara dilengkapi dengan Dolby Surround 7.1, teknologi TruSignal dan set telinga jenis DTS Headphone:X yang dapat menyalurkan bunyi jelas dan jernih.
Nubia M2 Lite
Model seterusnya M2 Lite memiliki spesifikasi seperti paparan 5.5 inci 1280 x 720 HD dengan gelas 2.5D darjah, pemproses MediaTek Helio P10 dan digandingkan bersama RAM 4GB serta storan 32GB menyokong sehingga 128GB kad microSD.
Peranti ini menerima Android 6.0.1 Marshmallow, bateri 3,000mAh, dua slot SIM dan kamera 13 Megapiksel f/2.2 di bahagian belakang, manakala kamera depan 16 Megapiksel f/2.0 menggunakan lensa sudut lebar 80 darjah.
Nubia N1 Lite
Yang terakhir N1 Lite didatangkan dengan paparan 5.5 inci HD 1280 x 720 diikuti pemproses MediaTek MTK6737 empat teras, RAM 2GB dan storan dalaman 16GB bersama slot microSD sehingga 32GB.
Kamera utama 8 Megapiksel f/2.0 dwi LED flash, sebaliknya di kamera depan pula 5 Megapiksel mendapat aperture hanya f/2.8 dan sistem operasi mendapat Android 6.0 Marshmallow menyokong dua slot SIM.
Harga bagi model-model ini bermula dari RM599 untuk Nubia N1 Lite (Black Gold), RM1,099 untuk model Nubia M2 Lite (Black Gold, Champagne Gold), manakala model kelas atasan ialah M2 pada harga RM1,699 (Black Gold, Champagne Gold).
Kesemua model diperkenalkan ini boleh didapati di semua pengedar sah seluruh Malaysia serta jualan atas talian Lazada, 11street dan DirectD.