
HARGA: RM 1,299
Kegilaan peranti selfie nampak seperti tidak akan berakhir. Satu persatu model smartphone yang mengetengahkan kebolehan kamera hadapan yang tinggi diperkenalkan ke pasaran bagi menambat hati pengguna yang mementingkan gaya selfie mereka. Menjelang penghujung tahun 2016, vivo telah memperkenalkan V5, sebuah smartphone dengan kamera hadapan beresolusi 20 megapiksel.
Kotak Pembungkusan & Aksesori
vivo V5 tampil dengan kotak pembungkusan yang menarik untuk pembeli di mana menawarkan pelbagai aksesori di antaranya:
- Kotak pembungkusan berwarna putih
- vivo V5
- Casing berwarna transparent
- Pin
- Buku panduan
- Adapter pengecas
- Kabel microUSB
- Earphone
SPESIFIKASI
Dimensi | 153.8 x 75.5 x 7.6 mm |
Paparan | 5.5 inci, IPS LCD, 720 x 1280 piksel |
Sistem Operasi | Android 6.0 dengan FunTouch OS 2.6 |
Memori | RAM: 4GB ROM: 32GB |
Kamera | Hadapan: 20 megapiksel, f/2.0, sensor 1/2.8″ Belakang: 13 megapiksel, phase detection autofocus, lampu LED |
Bateri | 3000mAh |
REKA BENTUK & BINAAN
Pada pandangan pertama, kita dapat melihat bahawa Vivo V5 mempunyai pengaruh rekaan dari peranti lain, panel belakang smartphone ini kelihatan hampir sama dengan iPhone 6 dan panel hadapan nampak seperti OnePlus 3. Namun “persamaan” ini sudah biasa dilihat pada peranti-peranti lain dan pilihan reka bentuk bergantung kepada selera anda.
Bagi aspek kualiti binaan pula, skrin paparan Vivo V5 dilindungi panel Corning Gorilla Glass dan pada bahagian belakang pula panel kemasan ala besi digunakan. Vivo V5 mempunyai rekaan yang ergonomik, ianya nipis dan tidak terlalu berat. Walaupun begitu alangkah baiknya jika Vivo menggunakan aluminium pada bahagian kerangka dan juga kemasan yang kurang licin pada peranti ini. Namun, secara keseluruhannya peranti ini mempunyai kualiti binaan yang memuaskan pada pendapat saya.
PAPARAN
Vivo V5 dilengkapi paparan IPS 5.5 inci dengan resolusi HD, bukan spesifikasi yang terhebat, tetapi cukup baik untuk digunakan. Penggunaan resolusi HD menjadikan peranti ini mesra bateri dan selain itu, paparan IPS Vivo V5 mempunyai darjah paparan yang cukup baik.
Kami agak terkejut melihat paparan Vivo V5, harus diperiksa berulang kali dengan kertas spesifikasi kerana pada mulanya kami menyangkakan ia adalah dari panel AMOLED. Saturasi warna dan keterangan panel paparan hampir sama baik dengan AMOLED, markah lebih sikit untuk Vivo V5 dari segi paparan!
AUDIO
Vivo membawakan reputasi audio yang baik bersama-sama mereka, model terdahulu mempunyai sistem audio yang diiktiraf ramai pengguna kerana mampu menghasilkan audio yang lantang dan jelas. Vivo V5 juga tidak terkecuali, walaupun hanya dilengkapi satu speaker sahaja pada bahagian bawah peranti, namun masih mampu menghasilkan audio yang lantang dan jelas.
Di samping itu Vivo juga melengkapkan sistem Hi-Fi yang diaktifkan apabila earphone/headphone disambungkan ke peranti. Kami dapat merasakan perbezaan yang ketara dari segi tona dan dinamik audio yang dirasakan lebih besar apabila mengaktifkan fungsi Hi-Fi. Harus diingatkan, fungsi ini hanya boleh diaktifkan ketika anda memasang earphone/headphone pada peranti. Alangkah baiknya jika fungsi ini turut ditawarkan ketika menggunakan speaker peranti.
PERISIAN
Funtouch OS Vivo V5 berat dengan pengaruh sistem operasi iOS. Ketiadaan app drawer, susun atur menu dan akses merupakan antara aspek yang hampir sama dengan iOS. Kepada mereka yang berhijrah dari iOS ke Android, dan menjadikan Vivo V5 peranti pertama mereka, anda mungkin kurang berasa kekok apabila menavigasi sistem operasi Vivo V5. Namun bagi golongan pengguna yang gemarkan sistem operasi Android yang tulen, modifikasi antaramuka ini mungkin akan menjadi penghalang.

Selain itu, Vivo juga turut menawarkan pelbagai perisian untuk memberikan pengalaman penggunaan yang lebih menarik kepada pemilik Vivo V5. Ulasan dan penerangan aplikasi dan fungsi Vivo V5 kami sediakan di ruangan Fungsi Tambahan.
PRESTASI

Prestasi pemproses bukanlah fokus utama peranti ini. Vivo V5 dilengkapi cip pemproses MediaTek MT6750 Octa-Core, ia mampu melakukan kerja dan tugasan asas dengan pantas namun ia bukanlah yang terhebat di dalam pasaran.
Kami menjalankan ujian benchmark untuk mengetahui skor dan perbandingan peranti ini dengan peranti lain di pasaran. Vivo V5 berada jauh di belakang peranti flagship, namun itu tidak menjadi masalah kerana Vivo V5 sememangnya bukan dipasarkan sebagai sebuah peranti dengan skor prestasi yang hebat.
Sepanjang menggunakan peranti ini, tiada masalah yang dapat dikesan ketika menggunakan aplikasi dan melakukan tugasan asas seperti WhatsApp, menonton video YouTube, menulis dokumen, melayari web dan lain-lain.

FUNGSI TAMBAHAN
Vivo memberikan banyak fungsi tambahan kepada model V5, majoriti fungsi yang dimuatkan ke dalam peranti ini sangat-sangat berguna dalam memudahkan saya menggunakan peranti. Antara fungsi tambahan yang dimaksudkan adalah:-
**Nota! Fungsi 1 sehingga 4 boleh diakses di dalam menu Settings, manakala fungsi 5, 6 dan 7 adalah aplikasi kendiri.
1) Smart motion
Smart motion melengkapkan pelbagai cara untuk anda mengakses fungsi smartphone dari keadaan skrin tidak aktif. Misalnya anda boleh mengaktifkan kamera dengan swipe ke bawah. Terdapat pelbagai pilihan lain yang anda boleh pilih dari menu fungsi Smart motion dan sub menu yang ditawarkan seperti Smart wake.
2) Smart Multi-screen
Fungsi ini pula membolehkan anda melakukan dua kerja pada satu masa. Contohnya, anda boleh membalas mesej WhatsApp ketika anda sedang menonton video YouTube. Fungsi ini akan membahagikan aplikasi YouTube dan WhatsApp kepada dua bahagian skrin bagi memudahkan anda mengakses kedua-dua aplikasi.
Apabila diaktifkan, Smart Multi-screen akan mengesan dan membahagikan aplikasi secara automatik kepada dua skrin. Anda cuma perlu tap notifikasi aplikasi dan ianya akan terus tersedia untuk anda. Fungsi ini hanya serasi dengan aplikasi Facebook, Line, Messages, Viber, WeChat, WhatsApp, YouTube, Video, Play Movies & TV.
3) One-handed
Fungsi ini pula sudah biasa dilihat pada peranti lain, kebanyakannya dilengkapkan sekali bersama-sama peranti berskrin besar. Fungsi ini membolehkan anda mengaktifkan paparan skrin kecil bagi memudahkan anda menavigasi kandungan paparan dengan satu jari sahaja.
4) Super screenshot
Super Screensot boleh diakses melalui dua cara, iaitu dari dalam menu Settings dan juga dengan swipe dari bawah skrin untuk mengaktifkan paparan shortcuts. Apa yang best dengan Super Screenshot adalah anda boleh menangkap gambar paparan dalam bentuk memanjang dan juga melakukan rakaman skrin berserta audio. Ikon kawalan ini boleh diaktifkan dengan swipe dari bawah paparan, dan pilih S-Capture.
5) EasyShare
EasyShare pula menawarkan anda fungsi perkongsian dengan pantas. Dari dalam aplikasi anda boleh memilih di antara dua mod. Mod pertama adalah Transmit Files yang membolehkan anda menghantar dan menerima fail dari peranti lain. Fungsi kedua pula adalah Replacements untuk anda menyediakan data sandaran bagi berpindah ke Vivo V5 ataupun bertukar ke telefon pintar lain.
6) i Manager
Dari dalam aplikasi i Manager, anda boleh menguruskan sistem dalaman peranti melalui pilihan pembersihan data RAM, kaunter data Internet, pengurusan aplikasi dan juga pengurusan kuasa peranti.
7) vivoCloud
Pemilik Vivo V5 juga akan menerima akses storan awan dari Vivo melalui aplikasi vivoCloud.
KAMERA

Kamera hadapan merupakan penarik utama Vivo V5, strategi pemasaran dengan menggunakan ratu muzik dan diva selfie negara, Dato’ Siti Nurhaliza sebagai duta produk menunjukkan serba sedikit kemampuan kamera hadapan 20 megapiksel yang ada pada Vivo V5.
Perisian kamera hadapan ditala khas untuk penggemar selfie, ia hadir dengan dua fungsi utama iaitu One Tap Makeover dan juga Custom. Dengan One Tap Makeover, Vivo V5 akan menala imej selfie anda secara automatik bagi menghasilkan imej selfie yang terbaik.
Jika anda ingin menala secara manual, sila pilih Custom. Di dalam fungsi ini anda kemudian boleh memilih tiga efek iaitu Buffing (untuk mencantikkan tona), Enlarging (membesarkan mata) dan juga Slimming (mengecilkan bentuk muka).

Ulasan gambar: Imej yang telah ditala mempunyai tona dan tekstur yang lebih lembut, namun seperti yang dilihat di dalam gambar, terdapat sebahagian butiran imej terjejas akibat talaan ini. Jika anda mahukan selfie normal dengan kualiti butiran yang jelas, kami sarankan anda memilih mod biasa tanpa sebarang talaan.
Kamera belakang Vivo V5 pula dilengkapi sensor 13 megapiksel dengan mod tangkapan HDR, Panorama, Night, PPT, Professional, Slow dan Fast.
← Menu mod kamera belakang Vivo V5.
HASIL GAMBAR
HDR

MAKRO

MAKRO

Kami sedikit kagum dengan kualiti kamera belakang, memandangkan Vivo tidak banyak memfokuskan kepada kemampuan kamera belakang, butiran, warna dan pencahayaan amat seimbang pada hampir kesemua gambar yang ditangkap.
• Contoh hasil gambar lain
RUMUSAN
Vivo V5 menepati jangkaan kami, sebuah peranti yang mempunyai hala tuju yang jelas. Peranti ini dibina dengan penggemar selfie sebagai sasaran utama. Kamera hadapan dan belakangnya cukup baik untuk anda mengambil gambar, ditambah pula dengan saturasi skrin yang baik, gambar anda akan nampak menyerlah.
Bagi penggemar selfie, mungkin anda patut cuba dahulu Vivo V5 sekiranya berpeluang dan barulah anda boleh menimbang tara sebelum melakukan pembelian.