
HARGA: RM 1,499
Jenama Huawei yang kini menerima sambutan yang sangat positif di pasaran telah mendorong pengeluar smartphone terbesar dari China ini untuk memperluaskan lagi portfolio smartphone keluarannya. Sebagaimana yang kita ketahui, siri ‘P’ merupakan barisan model yang menampilkan smartphone yang boleh dikategorikan dalam kelas high-end. Manakala siri ‘Mate’ pula sememangnya terkenal sebagai smartphone keluaran Huawei yang mempertaruhkan smartphone dengan paparan skrin lebih daripada 5.5 inci.
Kini yang terbaru, Huawei telah memperkenalkan siri terbarunya iaitu ‘Nova’ yang telah dikhususkan untuk smartphone kelas pertengahan keluaran mereka. Apa yang pasti, pengenalan siri terbaru ini sudah tentunya mampu menarik perhatian pengguna kerana ia mempertaruhkan kombinasi yang sangat menarik antara spesifikasi dan juga rekaannya. Ulasan kali ini kita akan melihat apakah yang Huawei tawarkan pada model Nova Plus.
SPESIFIKASI
OS & UI
• Android 6.0 Marshmallow
• EMUI 4.1
SLOT KAD SIM
• Dual SIM Dual Standby
• Slot SIM 1: nanoSIM
• Slot SIM 2: nanoSIM / microSD
PEMPROSES
• Qualcomm MSM8953 Snapdragon 625
• CPU: Octa Core ARM Cortex A53 2.0GHz
• GPU: Adreno 506 @ 650 MHz
• Teknologi Proses: 14nm LPP
DIMENSI
• Saiz: 151.8 x 75.7 x 7.3mm
• Berat: 160g
PAPARAN
• 5.5 inci IPS LCD
• 1080 x 1920 piksel / 401ppi
MEMORI
• ROM (eMMC 5.1): 32GB
• RAM (LPDDR3): 3GB
• microSD: sehingga 128GB
KAMERA UTAMA
• Resolusi: 16 Megapiksel
• Sensor Imej: Sony IMX298 Exmor RS
• Saiz Piksel: 12 μm
• Aperture: f/2.0
• Teknologi Penstabilan Imej: Optical Image Stabilization (OIS)
• Flash: Dual Real Tone LED Flash
• Fokus: Phase Detection Auto Focus (PDAF)
KAMERA DEPAN
• Resolusi: 8 Megapiksel
• Aperture: f/2.0
BATERI
• 3340mAh Lithium Polymer
SAMBUNGAN
• WiFi: 802.11 b/g/n
• Bluetooth: v4.1
• Port USB: USB Type-C
• USB OTG: √
SENSOR
• Hall Sensor, Fingerprint Sensor, Proximity Sensor, Ambient Light Sensor, Digital Compass, Gravity Sensor
PAKEJ PEMBELIAN
- Huawei Nova Plus
- Casing
- Adapter pengecas 5V2A*
- Kabel USB Type-C
- Earphone
- Pin slot kad
- Kad waranti & Quick Start Guide
** Adapter pengecas 5V2A tiga pin akan diterima apabila anda membeli
Huawei Nova Plus set original.
REKA BENTUK
Tidak ada apa-apa yang luar biasa mahupun kekurangan pada reka bentuk Huawei Nova Plus. Ia dilengkapi casis aluminium dan kemasan standard, secara amnya ia terasa solid apabila di dalam tangan dan selesa dipegang.
Rata-rata peranti ketika ini menggunakan paparan skrin yang baik, Nova Plus juga tidak terkecuali dengan dilengkapi skrin 5.5 inci Full HD (1920 x 1080 piksel). Warna paparan menonjol, butiran imej tajam dan mudah untuk dilihat dari semua sudut. Lampu status LED Notifikasi terletak bersebelahan dengan lubang earpiece, manakala di sebelah kanannya terletak sensor Ambient Light dan juga lensa depan beresolusi 8 Megapiksel.
Kedudukan pengimbas cap jari ditempatkan pada bahagian panel belakang kerangka, bahagian atas sensor pengimbas cap jari pula boleh ditemui lensa utama beresolusi 16 Megapiksel dengan sokongan teknologi penstabilan imej OIS dan juga Dual Real Tone LED Flash.
Dengan rekaan unibodi yang diperbuat daripada logam sepenuhnya, anda boleh mengakses slot kad dengan menggunakan pin khas yang disediakan di dalam pakej pembelian. Kedua-dua slot ini menyokong kad SIM jenis nano, tetapi salah satu daripada slot kad nanoSIM itu boleh digunakan untuk menyokong kad microSD.
Bahagian sisi kanan kerangka boleh ditemui dua buah butang kawalan fizikal yang diperbuat daripada logam iaitu butang melaras volume dan juga butang kuasa. Bagi memudahkan pengguna untuk membezakan antara kedua-dua butang ini, permukaan butang kuasa telah menerima sentuhan yang sedikit berbeza berbanding permukaan rata pada butang melaras volume.
Sama seperti siri P9 dan Mate 9, Nova Plus juga menampilkan sokongan port USB Type-C untuk sambungan tujuan mengecas ataupun pemindahan data. Lubang speaker hanya sebelah kanan sahaja yang berfungsi, sementara sebelah kiri hanya menempatkan mikrofon.
PRESTASI
Huawei Nova Plus dilengkapi pemproses Snapdragon 625, cip ini bukanlah yang terbaik di pasaran, namun ia masih mampu memberikan kuasa proses yang baik. Sepanjang menggunakan peranti ini, kami mendapati tiada sebarang kerencatan pada prestasi aplikasi mahupun crash. Jika dibandingkan dengan peranti flagship, permainan dan aplikasi pada Nova Plus dilancarkan lambat sedikit, namun grafik di dalam aplikasi permainan lancar dan sangat memuaskan.
Ujian benchmark merupakan cara terbaik untuk kita membandingkan prestasi kuasa pemproses di antara peranti. Berdasarkan ujian benchmark yang dilakukan pada Nova Plus, kuasa pemproses peranti ini jauh berbeza dengan peranti flagship masa kini. Di dalam ranking AnTuTu, Nova Plus berada betul-betul di luar 50 telefon pintar yang terbaik dari segi pemproses. Namun anda tidak perlu risau kerana sepanjang menggunakan peranti ini, kami tidak menghadapai sebarang masalah berkaitan tugasan pemproses, cip Snapdragon 625 mampu melakukan kerja dengan lancar.
KAMERA
Huawei P9, P9 Plus, Mate 9, Mate 9 Pro dan Mate 9 Porsche Design merupakan barisan terbaik peranti Huawei yang ada di pasaran ketika ini. Model-model tersebut dilengkapi sistem kamera dwi lensa yang dibangunkan bersama Leica. Ramai yang sudah pun mengakui kehebatan kamera pada model-model tersebut, tetapi bagaimana pula dengan kamera peranti Huawei kelas pertengahan, Huawei Nova Plus? Mari kita lihat.
Huawei Nova Plus mempunyai kamera 16 megapiksel dengan lensa ber-aperture f/2.0 dan disokong penstabilan imej optik (OIS). Spesifikasi tersebut pastinya kriteria yang dicari bagi mereka yang mementingkan kualiti kamera pada telefon pintar. Harapan kami juga tinggi memandangkan siri model P9 dan Mate 9 memang cukup hebat dari segi kamera.
Walau bagaimanapun, setelah menggunakan secara intensif kamera pada Nova Plus, kami boleh konklusikan bahawa kamera Nova Plus tidak mencapai kehebatan siri P9 dan Mate 9, namun masih berkemampuan menangkap gambar dengan baik.
Pertama sekali, oleh kerana Huawei tidak bekerjasama dengan Leica untuk Nova Plus, perisian dan antaramuka kamera model ini sedikit berbeza. Tetapan dan fungsi pada Nova Plus adalah kurang berbanding model yang dilengkapi kamera dwi-lensa Leica. Namun, Nova Plus masih dilengkapi mod Prosessional (manual), Light Painting, Time Lapse, Beauty dan lain-lain.

Di dalam mod automatik, gambar dapat ditangkap dengan mudah dan proses pemfokusan juga pantas. Nova Plus juga hadir dengan fungsi Object Tracking di mana ia boleh mengunci fokus subjek bergerak dan memastikan anda mengekalkan fokus kepada objek tersebut. Walaupun fungsi ini berjalan dengan baik, kadang kala kamera akan hilang fokus jika objek bergerak terlalu laju atau keadaan sekitar kurang pencahayaan.
Kualiti gambar dari sensor 16 megapiksel ini juga amat baik, dan tidak keterlaluan jika dikategorikan sebagai kamera terbaik bagi telefon pintar kelas pertengahan. Di dalam unit kamera ini telah terbina penstabilan imej optik (OIS) untuk memastikan gambar yang anda ambil kurang kabur dan bagi mendapatkan rakaman video yang lebih stabil dan baik.
HASIL GAMBAR
Mari kita lihat prestasi kamera ini dengan cubaan dalam pelbagai situasi dan mod bagi memahami dengan lebih mendalam lagi kebolehan dan kemampuan kamera ini.


Seperti yang dijangkakan pada kamera model Huawei, tona warna (gambar 1) yang menonjol memberikan gambar ini lebih mood dan meningkatkan kualiti gambar. Pada gambar 2 pula, kita dapat melihat kontra warna gelap dan terang yang baik.


Gambar ini diambil bagi melihat butiran imej yang ditangkap ketika subjek berada di bawah cahaya tiruan seperti lampu. Kualiti gambar pada gambar 4 amat baik kerana subjek tidak mempunyai banyak butiran, namun kualiti berkurangan apabila anda menangkap gambar subjek yang mempunyai banyak butiran. Pada gambar 3, hanya butiran pada bahagian kepala kucing sahaja nampak sangat baik dan butiran mula berkurangan pada bahagian lain.


Sekarang kita lihat pula perbandingan di antara gambar yang diambil di dalam keadaan yang terang (kawasan luar dengan cahaya matahari) dengan keadaan di mana cahaya adalah sangat minimal. Di dalam keadaan terang, butiran dan warna subjek nampak jelas dan menonjol. Manakala kualiti gambar akan berkurangan di dalam keadaan gelap, kita dapat lihat teks di atas gajet muzik di dalam gambar 6 agak kabur dan kurang butirannya.

Kamera hadapan pula memberikan kualiti imej standard yang ada pada peranti masa kini. Bagi mendapatkan kualiti terbaik anda perlu memilih kawasan yang mempunyai pencahayaan yang secukupnya.
RUMUSAN
Huawei meneruskan rekod baik mereka dengan menghasilkan peranti dengan kualiti perkakasan yang baik. Rekaan yang menarik dan kelihatan premium terutamanya bagi smartphone yang dikategorikan dalam kelas pertengahan.
Dari segi perisian, penggunaan pemproses Qualcomm Snapdragon 625 bagi menggantikan pemproses HiSilicon Kirin 650 merupakan satu langkah yang bijak kerana ia menjanjikan prestasi yang lebih baik secara keseluruhannya. Tambahan lagi, sokongan teknologi penstabilan imej OIS kini tidak lagi terhad pada model flagship keluaran Huawei sahaja kerana siri Nova yang dikategorikan dalam kelas pertengahan juga turut didatangkan dengan teknologi tersebut.
Tetapi tidak menyokong teknologi pengecasan pantas sebagaimana peranti kelas pertengahan yang lain di pasaran, agak mengecewakan peminat Huawei kerana anda perlu mengambil masa yang agak lama untuk dicas penuh. Sokongan antaramuka EMUI 4.1 yang berasaskan Android 6.0 Marshmallow sememangnya tidak begitu digemari oleh kebanyakan pengguna tegar platform Android.
Pendek kata, jika anda mencari sebuah peranti kelas pertengahan yang mempunyai kualiti binaan premium, Huawei Nova Plus masih boleh disarankan kepada anda semua.




