
Facebook Menguji Fungsi Sembang Terbuka
Pada tahun 2014, Facebook memperkenalkan aplikasi dipanggil Rooms, yang membenarkan orang ramai untuk menyertai ruang sembang atas talian berdasarkan pilihan topik yang diminati. Walau bagaimanapun, ia gagal menarik perhatian pengguna pada ketika itu dan telah ditutup pada tahun 2015.
Sudah ada petunjuk sebelum ini bahawa Facebook telah merancang untuk melancar semula fungsi Rooms, kali ini di dalam aplikasi Messenger. Pada bulan September, kod aplikasi ditemui tersembunyi di dalam aplikasi Messenger yang merujuk kepada ciri yang sama dilihat pada 2014. Rooms membolehkan anda menyertai ruang sembang tanpa perlu mendedahkan identiti, anda cuma perlu memilih topik sembang yang diminati dan ikut serta dalam perbincangan di dalam ruang sembang tersebut.
Sekarang, Rooms sudah tersedia kepada pengguna di Australia dan Kanada sebagai program percubaan. Facebook berkata Rooms merupakan ujian yang kecil, tetapi tidak memberikan komen lanjut. Sekiranya percubaan ini berjaya, kita boleh menantikan fungsi ini dilancarkan secara berkala kepada semua pengguna Facebook tidak lama lagi.

