
VISION, Realiti Maya Pertama Milik Alcatel
Seakan menjadi tradisi para pengeluar smartphone hari ini, di mana hadir dengan realiti maya yang boleh digunakan bersama smartphone. Terbaru, Alcatel turut mempamerkan realiti maya pertama miliknya pada pameran IFA 2016 yang dikenali sebagai VISION .
Menampilkan paparan skrin berkembar AMOLED dengan ukuran 3.8 inci, ia menawarkan resolusi 2160×2040 piksel. Dikuasakan oleh pemrposes Octa Core, Alcatel VISION dibekalkan dengan memori RAM 3GB serta memori dalaman 32GB. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sokongan Bluetooth, LTE dan beberapa sensor bagi memastikan pengalaman menggunakan realiti maya adalah yang terbaik.
Walau bagaimanapun, satu perkara yang mungkin memberikan cabaran dalam memasarkan realiti maya ini adalah kandungannya. Alcatel tidak menggunakan platform Google Daydream ataupun Oculus, sebaliknya menggunakan OS tersendiri. Ia mungkin menghadkan tawaran kandungan untuknya, tetapi menurut jurucakap Alcatel, mereka mempunyai beberapa rakan kerjasama yang telah bersedia menawarkan kandungan seperti permainan untuk realiti maya ini.
Alcatel VISION bakal dijual dengan harga bermula € 499 (kira-kira RM 2,274) sehingga € 599 (kira-kira RM 2,730).

