
Setelah sekian lama menunggu, akhirnya LG G5 tiba di pasaran tempatan melalui pengedar rasmi Zitron Malaysia. G5 adalah peranti dengan rekaan seakan modular pertama diperkenalkan oleh LG, di mana pengguna boleh menambahkan beberapa aksesori padanya.
Dari segi spesifikasi, peranti dengan skrin 5.3 inci beresolusi 2560×1440 piksel ini telah dikuasakan oleh pemproses Snapdragon 820, manakala memori dalaman 32GB telah diserikan dengan 4GB RAM.
Bagi fungsi penggambaran pula, ia menyokong dua kamera belakang iaitu 16 Megapiksel dan 8 Megapiksel, dan kamera hadapan beresolusi 8 Megapiksel. Bagi anda yang berminat untuk memiliki model G5 ini, harga pasaran adalah RM 2699 dengan jaminan waranti selama setahun daripada Zitron Malaysia.
Bersama-sama LG G5, LG juga menawarkan sebuah lagi model yang dikenali dengan nama LG Stylus 2 Plus. Menampilkan skrin sebesar 5.7 inci, ia menyokong pemproses Snapdragon 430 serta RAM 3GB untuk kelancaran operasinya. Harga yang ditawarkan untuk phablet ini adalah RM 1,399.


