
Apple Umum Dua Berita Menarik Untuk Pemilik iPhone dan iPad
Sebelum mendedahkan kemunculan dua model terbarunya di dalam majlis pelancaran Apple Special Event dengan model iPhone 7 dan juga iPhone 7 Plus, Apple dilihat telah mengambil peluang yang ada dengan mengumumkan dua berita menarik untuk dikongsikan dengan pemilik sedia ada iPhone dan juga iPad.
Berikut adalah kejutan yang telah diumumkan oleh Tim Cook di dalam acara eksklusif tersebut:
Super Mario Run untuk iPhone dan iPad
Berita menarik pertama yang dikongsikan oleh Tim Cook adalah kehadiran permainan konsol popular keluaran Nintendo eksklusif untuk peranti iOS iaitu Super Mario Run yang boleh dimuat turun di Apple App Store bermula Disember 2016 nanti. Walaupun masih mengekalkan gaya permainan klasik yang sama seperti yang dapat dilihat pada konsol, Super Mario Run kini boleh terus dimainkan pada iPhone dan juga iPad dengan hanya menggunakan sebelah tangan sahaja. Lebih menariknya, permainan ini juga turut boleh dimainkan dalam mod berbilang pemain (multiplayer) bagi membolehkan anda untuk bersaing dengan pemain Super Mario Run dari seluruh dunia.


Ketersediaan kemas kini iOS 10 bermula 13 September
Sebagaimana yang kita ketahui, Apple telah mendedahkan persembahan antaramuka dan juga ciri-ciri menarik iOS 10 dalam acara Apple WWDC pada Jun 2016 yang lalu. Selepas beberapa bulan ianya tersedia untuk dimuat turun melalui Apple Beta Software Program, akhirnya Apple telah mengumumkan bahawa kemas kini iOS 10 itu sudah boleh dimuat turun oleh semua pemilik iPhone dan juga iPad secara rasmi mulai 13 September ini.

