
Telefon Pintar Android Mengukuhkan Kedudukan Jualan Dengan 86.2% Pada Suku Kedua
Berdasarkan kepada laporan terkini yang diumumkan oleh Statista, telefon pintar Android telah memperlihatkan dominasi jualan global mencecah sehingga 86.2% setakat suku kedua tahun 2016. Ini jelas dapat dilihat peningkatan sebanyak 1.5% daripada 84.7% pada tempoh yang sama tahun 2015 yang lalu. Manakala peranti iPhone pula telah memperlihatkan penurunan kepada 12.9% tetapi jauh mengatasi kedudukan Windows Phone dan juga BlackBerry.
Setakat suku kedua tahun ini, sebanyak 296.91 juta unit telefon pintar Android telah diedarkan di seluruh dunia jika dibandingkan hanya 44.4 juta unit iPhone untuk tempoh yang sama. Windows Phone pula memperlihatkan sebanyak 1.97 juta unit telah diedarkan dan hanya 400,000 unit peranti BlackBerry berjaya diedarkan. Angka ini sememangnya menarik kerana pada tahun 2009, Symbian telah menguasai sebanyak 51% daripada pasaran global, diikuti oleh BlackBerry iaitu 19%, iOS pula 13%, Windows Mobile 9% dan hanya 2% sahaja untuk pasaran peranti Android.
Tetapi trend tersebut telah berubah pada suku pertama tahun 2011, apabila Android dilihat telah berjaya memperbaiki kedudukannya dengan mengatasi Symbian. Walau bagaimanapun, angka ini mungkin akan berubah pada penghujung tahun ini apabila Apple bakal melancarkan model iPhone terbarunya dengan kemunculan siri iPhone 7 tidak lama lagi.

