
Pemilik Nexus 6 Di Seluruh Dunia Berhadapan Isu Gangguan Rangkaian LTE
Walaupun sudah berada agak lama di pasaran, tidak dinafikan masih ramai pengguna yang setia menggunakan Nexus 6 sebagai peranti utama mereka. Sokongan spesifikasi yang masih relevan pada peranti Nexus ini nampaknya mula menunjukkan permasalahan yang tidak dapat dipastikan puncanya apabila ramai di antara pemilik model ini dari seluruh dunia berhadapan dengan isu gangguan rangkaian LTE.
Berdasarkan kepada laporan yang telah diterima, kebanyakan pengguna Nexus 6 tidak dapat menggunakan rangkaian LTE secara tiba-tiba. Permasalahan yang dihadapi ini nampaknya mula dikongsikan oleh ramai daripada pemilik peranti tersebut di media sosial untuk mendapatkan kepastian tentang punca yang menyebabkan isu ini berlaku.
Bahkan pihak telco utama di Amerika Syarikat iaitu T-Mobile juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa masalah ini telah dihadapi oleh pemilik Nexus 6 di seluruh dunia, dan memaklumkan bahawa mereka sedang berusaha mengatasinya dengan bantuan Google dan juga Motorola.
Apa yang lebih menariknya, salah satu daripada komen di laman sosial Facebook telah menyatakan bahawa aplikasi paling popular Pokemon Go mungkin menjadi penyebab masalah tersebut. Ini kerana rangkaian LTE kembali berfungsi sebaik sahaja aplikasi itu dibuang dari Nexus 6 miliknya.

