
Pssstt, Dengar Cerita Google Nak Keluarkan Dua Smartwatch
Google dikhabarkan sedang bekerja keras bagi membangunkan sepasang smartwatch yang diberi nama Angelfish dan Swordfish. Ada kemungkinan bahawa kedua-dua peranti akan menggunakan jenama Nexus, tetapi mungkin juga Google sedang berusaha untuk membawa sesuatu yang luar biasa. Dijangkakan kedua-dua model ini akan diperkenalkan secara rasmi bersama-sama model terbaru Nexus.
Angelfish dikatakan mirip Moto 360 dan LG Urbane yang dilengkapi keupayaan LTE, GPS dan monitor denyutan jantung. Dengan keupayaan tersebut, berkemungkinan besar Angelfish juga akan mempunyai reka bentuk yang lebih tebal dan besar.
Swordfish pula dikatakan akan lebih minimal di mana hanya fungsi asas akan diperkenalkan kepada model ini. Reka bentuknya pula akan lebih kompak dan nipis. Menurut laporan, fungsi GPS dan LTE tidak akan hadir di dalam model ini, dan ianya disasarkan kepada golongan yang mahukan peranti dengan reka bentuk yang minimal dan fungsi asas sebuah smartwatch.
Nexus mempunyai peminatnya yang tersendiri, jadi bagaimana anda rasa penerimaan pengguna terhadap smartwatch dari Google?