
BlackBerry DTEK50, Smartphone Android Ke-2 Dengan Ciri-ciri Keselamatan
Baru-baru ini tersebar berita tiga peranti BlackBerry yang akan diperkenalkan tidak lama lagi. Hasil daripada beberapa keping gambar model terbarunya yang tertiris, akhirnya BlackBerry dengan rasminya memperkenalkan model tersebut yang dikenali sebagai dari DTEK50.
BlackBerry DTEK50 adalah smartphone kedua BlackBerry yang dioperasikan oleh OS Android dan ia turut memfokuskan kepada pelbagai perisian serta ciri-ciri keselamatan khas daripada BlackBerry. Menampilkan rekaan skrin sentuh sepenuhnya berukuran 5.2 inci, ia turut menyokong papan kekunci pintar daripada BlackBerry yang boleh mempelajari gaya pengguna berdasarkan kepada input mereka.
BlackBerry DTEK50 menawarkan spesifikasi mirip seperti Alcatel Idol 4, di mana menyediakan sebuah butang fizikal pada bahagian tepi yang dinamakan ‘BlackBerry Convenience Key‘. Apabila menekan butang ini selama beberapa saat, pengguna boleh mengakses aplikasi yang sering digunakan. Dikuasakan oleh Snapdragon 617 dan diserikan dengan memori RAM 3GB, BlackBerry DTEK50 juga tidak ketinggalan hadir dengan penggambaran utama 13 Megapiksel dan bateri Li-Ion berkapasiti 2610mAh.
Buat masa sekarang, BlackBerry DTEK50 telah boleh ditempah di Amerika Syarikat, Kanada, Perancis, Jerman, Sepanyol, Itali dan juga Netherlands dengan harga USD 299 (kira-kira RM 1,217).

