
Apple Mematenkan Teknologi Untuk Mengawal Kamera Anda
Buat pengguna produk Apple, pada masa hadapan anda berkemungkinan besar tidak dapat lagi mengawal sepenuhnya penggunaan kamera anda. Ini kerana Apple sudah memfailkan paten teknologi yang menghadkan penggunaan kamera pada kawasan-kawasan tertentu.
Teknologi ini menggunakan gelombang inframerah yang dipancarkan pada kawasan-kawasan yang dilarang melakukan rakaman video, gelombang tersebut kemudiannya akan diterima secara automatik oleh peranti dan akan membekukan penggunaan kamera peranti di kawasan tersebut.
Teknologi ini berkemungkinan besar akan digunakan ketika konsert hiburan bagi mengelakkan rakaman tidak berbayar, ini kerana nama-nama besar industri hiburan sudah mula melihat bahawa video konsert dan acara hiburan mampu menjana pendapatan dan mereka ingin memaksimakan pendapatan mereka melalui servis video berbayar. Selain itu ia juga mungkin akan digunakan ketika acara-acara sulit berkaitan kerajaan dan keselamatan.
Bagaimana pula pendapat anda, haruskah Apple menyekat pengguna dari kawalan penuh terhadap kamera yang mereka miliki?

