
LeEco Le Max 2 Diperkenalkan Dalam Warna Baharu Force Gold Serta Storan 128GB
Pada April 2016 yang lalu, LeEco telah memperkenalkan model terbarunya dengan kemunculan Le Max 2 yang menawarkan paparan skrin 5.7 inci dengan resolusi 1440 x 2560 piksel, pilihan storan 32GB/4GB RAM atau 64GB/6GB RAM, kamera 21 Megapiksel dengan sensor IMX230 serta OIS, dan juga dikuasakan oleh pemproses Snapdragon 820. Selain itu ia juga turut menggunakan teknologi pengimbas cap jari Ultrasonic daripada Qualcomm, menyokong teknologi Quick Charge 3.0, serta port USB Type-C.
Tetapi sejak kebelakangan ini, jelas dapat dilihat semakin banyak pengeluar dari China yang menawarkan sokongan storan yang lebih baik iaitu 128GB dengan RAM berkapasiti 6GB. Antara model yang tampil dengan konfigurasi tersebut adalah ZUK Z2 Pro, Axon 7 dan juga Nubia Z11.
Menyedari akan persaingan daripada peranti flagship tersebut, LeEco nampaknya telah memperkenalkan versi terbaru Le Max 2 dengan penambahbaikan pada sokongan storan yang kini turut ditawarkan dalam versi 128GB dengan RAM 6GB. Lebih menariknya, selain daripada warna sedia ada iaitu Rose Gold dan Silver, satu lagi warna baharu Force Gold turut diperkenalkan.