
Celcom hari ini secara rasminya telah mengumumkan bahawa mereka akan memulakan proses pemodenan rangkaian di Lembah Klang bermula 9 Jun yang lepas. Ia bakal menambah baik rangkaian 4G mereka dalam usaha menampung lebih banyak pelanggan dan menawarkan kualiti rangkaian yang lebih baik.
Proses pemodenan rangkaian ini akan mengambil masa sekitar 4 bulan, dan akan dilakukan sekitar Lembah Klang bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang setiap hari. Ini adalah sebahagian daripada proses untuk bersedia kepada rangkaian 4.5G, selain turut menyediakan asas untuk sokongan rangkaian 5G kelak. Celcom sebelum ini telah mengatakan mereka menyasarkan untuk liputan LTE seluas 95% di kawasan berpenduduk menjelang tahun 2020 kelak.
Melalui laman rasminya, Celcom memberitahu pelanggan mungkin mengalami gangguan rangkaian di antara pukul 10 pagi hingga 5 petang di kawasan yang terlibat. Mungkin ada di kalangan pelanggan tidak akan mendapatkan liputan langsung. Namun begitu, Celcom telah mengambil langkah untuk mengatasinya dengan menyediakan pemancar sementara di dalam dan luar banggunan kawasan yang terjejas. Celcom sendiri akan mengemaskini status dan lokasi yang terjejas sepanjang tempoh ini melalui laman rasminya.