
ASUS mempunyai pelbagai produk komputer riba di bawah jenama mereka dan yang paling popular adalah ZenBook. Terkini, ASUS telah melancarkan sebuah komputer riba terbarunya iaitu ZenBook Flip (UX360CA) untuk pasaran tempatan. Menampilkam rekaan engsel bagi membolehkan komputer riba ini diputarkan sehingga 360 darjah, ia turut menawarkan beberapa mod berbeza untuk untuk membuat kerja.
Lebih istimewa lagi, komputer riba ini juga menyediakan paparan skrin sentuh untuk kemudahan anda melakukan beberapa perkara ketika berada dalam mod berbeza seperti mod Tablet.
Dari segi spesifikasinya pula, ZenBook Flip (UX360CA) tampil dengan skrin berukuran 13.3 inci beresolusi 1920×1080 piksel serta menawarkan ketebalan hanya 13.9mm sahaja dan dilengkapi memori dalaman sebesar 128GB SSD bersama RAM 4GB. Kapasiti bateri yang tersedia pada komputer riba ini membolehkan anda menggunakan komputer riba ini selama 12 jam.
Dioperasikan oleh Windows 10 serta dikuasakan oleh pemproses Intel m3, ZenBook Flip (UX360CA) turut dilengkapi dengan sokongan audio SonicMaster untuk fungsi multimedia yang hebat! ASUS ZenBook Flip (UX360CA) telah ditawarkan pada harga bermula RM 3099 untuk pasaran tempatan dan boleh dibeli dengan pengedar yang sah.


