
Google Desak Pembuat Telefon Pintar Dan Telco Untuk Mempercepatkan Kemas Kini Android
Disebabkan terlalu banyak pembuat telefon pintar yang dioperasikan dengan platform Android dan juga kawalan pada sesetengah telco, Google telah berhadapan dengan cabaran terbesar dalam memastikan setiap peranti tersebut untuk menerima kemas kini yang paling terbaru.
Isu yang telah dihadapi sejak dari awal kemunculan platform Android ini masih lagi belum berjaya diatasi dan telah menyebabkan Android telah ketinggalan jauh dalam soal penerimaan kemas kini terbaru jika dibandingkan dengan platform iOS yang diperkenalkan oleh Apple.
Jika diperhatikan, Apple mempunyai kuasa mutlak untuk mengawal kedua-dua aspek penting iaitu perisian dan juga perkakasan yang dioperasikan oleh iOS. Ini berbeza dengan Google yang hanya mempunyai kawalan ke atas produk keluarannya yang agak terhad iaitu melalui siri Nexus.
Berdasarkan kepada laporan yang dikeluarkan oleh Bloomberg, Google telah memandang serius isu yang dihadapi ini dengan melaksanakan pemantauan ke atas pembuat telefon pintar dan juga telco. Malah satu senarai kedudukan juga telah dibuat berdasarkan kepada kecepatan penyediaan kemas kini dan juga patch keselamatan bulanan. Langkah yang telah diambil ini secara tidak langsung telah memberi tekanan kepada pembuat telefon pintar dan juga telco untuk memastikan pengguna mereka sentiasa menerima kemas kini terbaru Android.