
Digi Telecommunications Sdn Bhd sekali lagi telah berkolaborasi dengan penyedia perkhidmatan televisyen Internet di Asia Tenggara iaitu iflix, untuk menawarkan akses mencecah sehingga puluhan ribu jam hiburan tanpa had kepada pelanggan telco itu. Bermula dari 26 Januari, pelanggan Digi yang melanggan atau menaik taraf ke pelan Digi SmartPlan 65 dan ke atas akan menerima langganan percuma iflix selama 12 bulan bernilai RM96, yang akan ditawarkan dengan pelan pascabayar tersebut tanpa sebarang caj tambahan.
Tawaran terbaru dari Digi ini merupakan pengukuhan ketara hubungan antara kedua-dua syarikat tersebut, yang mana sebelum ini Digi dan iflix pernah berkerjasama bagi membolehkan pelanggan Digi membuat pembayaran langganan iflix menggunakan akaun prabayar ataupun pascabayar mereka. Sebagai rujukan, Digi merupakan telco pertama di negara ini yang menawarkan 12 bulan akses iflix tanpa sebarang kos tambahan kepada pelanggannya.

