
Kaspersky Lab telah mendedahkan maklumat penting yang harus diketahui semua orang. Data hasil kajian syarikat keselamatan data dan sistem komputer tersebut menunjukkan lebih daripada 30% pengguna media sosial menarik perhatian penjenayah siber dengan berkongsi maklumat sulit secara terbuka pada akaun mereka.
Maklumat sensitif tersebut ternyata boleh di manipulasi pihak yang tidak bertanggungjawab dan menurut uji kaji yang dilakukan 78% pengguna Internet tidak sedar bahawa mereka sering berkongsi maklumat sensitif seperti lokasi, maklumat akaun dan lain-lain. Kebanyakan daripada mereka juga mengaku mempunyai ratusan kenalan media sosial yang sebenarnya tidak mereka kenali, apa yang pasti senario ini jelas sekali sangat berbahaya.
Selain itu aktiviti muat turun fail turut menyumbang kepada serangan siber, rata-rata pengguna terjebak dengan iklan gimik dan terus memuat turun fail yang ditawarkan. Tindakan ini menyebabkan pelbagai perisian malware masuk ke dalam sistem dan membolehkan penjenayah mendapatkan maklumat sulit pengguna. Menurut Kaspersky lagi, golongan berusia, remaja dan kanak-kanak merupakan golongan yang paling terdedah dengan ancaman siber dan Kaspersky Lab menyarankan agar mereka lebih berhati-hati ketika menggunakan media sosial.


