
Samsung Dijangka Mampu Menjual Sebanyak 100,000 Unit Galaxy S7 Di Korea Selatan Untuk Tempoh 2 Hari?!
Menurut artikel yang telah dikeluarkan oleh media tempatan Korea Selatan iaitu Yonhap News, Samsung dipercayai mampu menjual sebanyak 100,000 unit Galaxy S7 di negara itu untuk tempoh 2 hari selepas ketersediaan peranti tersebut secara komersial. Samsung Galaxy S7 yang akan dilancarkan secara rasmi pada 11 April secara serentak di seluruh dunia, dijangkakan akan terjual sebanyak 60,000 unit pada hari pertama di Korea Selatan dan diikuti dengan 40,000 unit lagi pada hari kedua selepas ianya dilancarkan. Berdasarkan kepada sumber tersebut, Samsung Galaxy S7 edge dengan paparan skrin berukuran 5.5 inci dikatakan akan menguasai 40% daripada jumlah jualan itu dan selebihnya diperolehi melalui model Galaxy S7 dengan paparan skrin berukuran 5.2 inci.
Jika dilihat pada rekod jualan Galaxy S6 dan juga Galaxy S6 edge pada tahun lalu, Samsung telah berjaya menjual sebanyak 200,000 unit pada 10 hari pertama jualannya. Antara faktor yang diyakini mampu menarik minat lebih ramai pembeli adalah kelebihan Galaxy S7 yang kini tampil dengan fungsi kalis air dan debu, kamera berkualiti dan lebih menariknya kini ia turut disediakan dengan slot kad microSD. Walau apapun jangkaan atau ramalan awal yang dibuat, rasanya adalah lebih baik untuk kita tunggu dan lihat sendiri bagaimanakah penerimaan Samsung Galaxy S7 dan juga Galaxy S7 edge ini tidak lama lagi.

