Samsung Galaxy S10 Lite & Note10 Lite Rasmi – Sokong Kamera Lebih Baik & Bateri Besar 4,500mAh

Sekian lama mengacah, Samsung akhirnya memperkenalkan Samsung Galaxy S10 Lite dan Galaxy Note10 Lite. Kedua – dua peranti dibina dengan paparan bersaiz 6.7″ SAMOLED FHD+ dengan rekaan Infinity-O. Selain itu, ia juga membawakan kapasiti bateri yang sama iaitu sebesar 4,500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 25W.

Samsung Galaxy S10 Lite

Samsung Galaxy S10 Lite dikuasakan oleh cip pemproses dengan binaan 7nm bersama CPU octa-core yang mempunyai kluster berjalan pada 2.8GHz, 2.4GHz dan 1.7GHz. Meskipun tidak mendedahkan cip sebenar, namun ia didapati sepadan dengan Snapdragon 855. Selain itu, ia dipadukan dengan sokongan memori sehingga 8GB RAM dan storan dalaman 128GB. Sebagai tambahan, ia turut menyertakan slot kad microSD.

Untuk kamera, Samsung Galaxy S10 Lite menyertakan sokongan lensa utama sebesar 48MP + 12MP + 5MP. Mengiringinya adalah kamera hadapan sebesar 32MP. Sokongan kamera ini disertakan dengan sensor sudut lebar, ultra sudut lebar dan makro. Tidak ketinggalan, ia turut menyertakan sokongan Super Steady OIS yang menawarkan rakaman video dan gambar lebih stabil.

 

Samsung Galaxy Note10 Lite

Samsung Galaxy Note 10 Lite dikuasakan oleh pemproses Exynos 9810 – merupakan cip yang sama digunakan oleh Galaxy Note 9. Dalam aspek lain, peranti ini memaparkan paparan bersaiz 6.7-inci FHD+ dengan rekaan Infinity-O. Ia tersedia dalam pilihan memori sehingga 8GB RAM dan penyimpanan 128GB yang boleh diperkembangkan sehingga 1TB melalui kad microSD.

Untuk tetapan kamera pula, Samsung Galaxy Note 10 Lite mempunyai persediaan kamera tiga kali utama dengan gabungan lensa 12MP + 12MP + 12MP bersama kamera swafoto sebesar 32MP. Galaxy Note10 Lite turut didatangkan dengan sokong S-Pen yang sama seperti siri Note 10. Pun begitu, Samsung masih belum berkongsi mengenai ketersediaan dan harga peranti.

You might also like