Setel dan TNG Digital Memperkenalkan Pembayaran Isi Minyak Dalam Aplikasi Melalui TNG eWallet di Stesen PETRONAS Seluruh Negara

Setel Ventures Sdn Bhd (Setel) telah memeterai kerjasama strategik bersama TNG Digital Sdn Bhd (TNGD) bagi membolehkan pengisian dan pembayaran bahan api dilakukan terus di pam menggunakan TNG eWallet, yang kini tersedia di lebih daripada 1,000 stesen minyak PETRONAS di seluruh negara.

Integrasi bersejarah ini menyatukan teknologi eksklusif ‘pam dan bayar’ milik Setel dengan salah satu dompet digital paling popular di Malaysia.

Kerjasama ini dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU), dan bakal akan memudahkan pengguna mengisi minyak tanpa perlu meninggalkan kenderaan atau memuat turun aplikasi tambahan.  Ciri baharu ini boleh diakses melalui program mini ‘PETRONAS via Setel’ yang tersedia dalam aplikasi TNG eWallet. 

Ketua Pegawai Eksekutif Setel, Encik Abdullah Ayman Awaluddin berkata, “Perkongsian ini mencerminkan komitmen berterusan untuk memperluaskan ekosistem Setel melalui integrasi strategik yang memberikan impak.  Pengisian bahan api merupakan antara urusniaga paling kerap dilakukan.  Dengan adanya Setel dalam TNG eWallet, kami dapat memenuhi keperluan pengguna di mana jua mereka berada.  Usaha ini selari dengan visi kami untuk menawarkan pengalaman mobiliti dan runcit yang lancar melalui inovasi digital.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Encik Alan Ni, turut berkongsi, “Kerjasama ini sejajar dengan usaha kami untuk mengintegrasikan perkhidmatan harian yang relevan dan praktikal dalam kehidupan seharian pengguna. Pengisian minyak adalah rutin bagi kebanyakan rakyat Malaysia, dan inisiatif ini menjadikannya lebih pantas dan mudah diakses.  Ia juga membuka titik sentuh baharu di rangkaian stesen PETRONAS di seluruh negara. Kami sentiasa menyokong kerjasama yang bukan sahaja memudahkan pengalaman pengguna, tetapi juga memperluas capaian rakan kongsi kami kepada komuniti digital yang semakin berkembang. 

Sempena pelancaran ini, ganjaran istimewa bernilai RM5 dalam bentuk mata ganjaran Mesra Rewards akan diberikan bagi 50,000 transaksi pertama yang layak melalui program mini TNG eWallet. Promosi ini terbuka kepada pengguna baharu Setel dan Mesra Rewards, serta pengguna sedia ada yang menghubungkan ID Mesra mereka ke akaun Setel buat kali pertama. Selain itu, pengguna juga akan menerima mata ganjaran GOrewards TNG eWallet untuk setiap transaksi yang dilakukan melalui program mini tersebut, tertakluk kepada terma dan syarat.

Kerjasama ini menzahirkan usaha bersama Setel dan TNG Digital untuk menjadikan rutin harian rakyat Malaysia lebih mudah, pantas dan bermanfaat, melalui integrasi pengisian minyak, pembayaran digital dan ganjaran dalam satu platform menyeluruh untuk pengguna di seluruh negara.

You might also like