
Apple Enggan Akur Arahan FBI
Baru-baru ini Apple diarahkan hakim untuk membantu FBI dalam siasatan kes tembakan rambang di tempat awam yang berlaku pada bulan Disember 2015 di San Bernadino. Walau bagaimanapun arahan hakim tersebut ditolak secara formal oleh Apple atas sebab-sebab tertentu. Sebelum ini Apple sentiasa bersedia memberikan kerjasama kepada kerajaan sekiranya diperlukan, seperti membekalkan informasi dan kepakaran teknologi. Tim Cook telah menulis surat terbuka yang dimuat naik ke laman web Apple menyatakan pendirian Apple dalam konfik ini.
Menurut beliau jika Apple akur dengan permintaan terbaru dari kerajaan U.S, ini bermakna mereka akan mengundang masalah yang besar pada masa hadapan. Bermula dari iOS 8, Apple telah berhenti menyimpan kunci inkripsi yang sebelum ini digunakan untuk mengakses data pengguna. Langkah itu diambil bagi meningkatkan sekuriti dan keselamatan maklumat sulit pengguna. FBI telah meminta Apple untuk membuka akses iPhone kepunyaan penyerang San Bernadino tetapi Apple menganggap permintaan tersebut sebenarnya mempunyai agenda tersendiri.

