
[Tertiris] Umidigi Z2 Akan Hadir Dengan Bateri 7,000mAh Dengan Skrin Penuh
Jika anda belum pernah mendengar jenama Umidigi, jenama ini merupakan jenama berasal dari negara Tembok Besar. Walaupun namanya tidak gah seperti jenama China yang lain, khabarnya syarikat ini bakal melancarkan sebuah telefon pintar dengan rekaan yang menarik.

Umidigi Z2 dikatakan akan menggunakan skrin penuh di depan dengan ‘rongak’ di bahagian bingkai atas. Ini secara tidak langsung hampir seiras dengan rekaan daripada pasukan Tim Cook. Menerusi gambar yang dikongsi oleh Umidigi, rekaan pada ‘rongak’ ini menempatkan beberapa sensor antaranya yang boleh dilihat ialah dwi kamera swafoto, speaker telinga, dan beberapa sensor asas.
Peranti ini juga menawarkan paparan bersaiz 6.2-inci HD penuh+ dengan resolusi sebanyak 2246 x 1080p disamping butang laras suara dan butang hidup pada bahagian sisi kanan peranti. Syarikat ini juga memberitahu, Umidigi Z2 turut menawarkan sistem keselamatan canggih iaitu pengimbas cap jari pada skrin seperti yang diperkenalkan pada vivo X20 Plus UD.
Apa yang menarik perhatian ialah, ia akan dimuatkan bateri sebesar 7,000mAh bersama ciri NFC dan bicu USB-C yang menyookong pengecasan pantas. Cip pemproses dalaman pula diberikan kepada MediaTek kelas-pertengahan malah apa yang boleh dijangka ialah ia akan menggunakan sistem dwi kamera serta panel gelas pada bahagian belakang.
Namun, buat masa ini ianya hanya khabar angin sebelum tarikh pelancarannya. Apa-apapun kita tunggu berita selanjutnya dalam beberapa minggu lagi.

