Peranti Prototaip Misteri Dipercayai Milik OPPO Tersebar Di Internet

Weibo yang merupakan salah satu daripada saluran media sosial yang paling popular di China sering membawakan sesuatu perkara menarik untuk dikongsikan. Baru-baru ini beberapa keping gambar yang telah dikongsikan di media sosial itu telah mendapat perhatian apabila ia telah memperlihatkan sebuah peranti misteri yang dipercayai merupakan unit prototaip untuk model terbaru keluaran OPPO nanti.

Sungguhpun tiada sebarang maklumat berkaitan spesifikasi mahupun nama model yang didedahkan, peranti misteri yang disembunyikan di sebalik sarung berwarna putih ini hadir dengan panel depan berwarna putih serta panel belakang berwarna merah jambu. Malah bahagian panel belakang peranti ini juga jelas memperlihatkan sokongan dua kamera dan juga sensor pengimbas cap jari.

Apa yang menarik perhatian kami, peranti ini memiliki skrin yang agak besar dengan saiz kerangka yang agak kecil pada bahagian atas dan bawah. Malah bahagian atas paparan skrinnya juga tersedia dengan pelbagai sensor tambahan yang masih belum diketahui kegunaannya. Benar atau tidak sama-sama kita nantikannya pendedahan model ini pada masa akan datang.

You might also like