
HARGA: RM2,999
Samsung kini telah menawarkan Galaxy Tab S3 di seluruh Malaysia, tablet bersaiz 9.7 inci dengan ciri premium ini didatangkan bersama rekaan S pen yang telah dinaik taraf supaya pengalaman menulis seperti memegang sebuah pen dakwat sebenar. Hari ini, para pengguna lebih tertumpu pada tablet untuk melakukan kerja dan aktiviti harian daripada membuka komputer riba yang berat. Reka bentuk pada tablet terbaru Samsung ini lebih mudah dibawa ke mana-mana dengan rekaan luar yang lebih premium menggunakan bingkai aluminium dan panel gelas tahan lasak.
PERBANDINGAN SPESIFIKASI
MENGAPA PERLU MEMILIKI TABLET INI?!
9.7″ Super AMOLED + Rekaan Kaca
Paparan pada skrin yang besar ini masih lagi memberi kepadatan piksel yang tinggi dengan 2048 x 1536 Super AMOLED bersama sokongan HDR menghasilkan warna yang jitu.

Apa yang istimewanya rekaan Galaxy Tab S3, panel belakangnya diperbuat menggunakan kaca buat pertama kalinya. Ia secara tidak langsung memperlihatkan nilai premium yang ada pada model ini.
Pengimbas Cap Jari
Sistem keselamatan pula, Samsung menyediakan pengesahan biometrik untuk log masuk yang terletak pada butang Home.
Kami sememangnya agak mengagumi kepantasan sensor ini kerana anda boleh terus mengaktifkan paparan skrin apabila peranti dalam mod sleep. Malah sentuhan selama beberapa saat pada sensor ini juga membolehkan skrin dimatikan.
S Pen Baru
Model terbaru ini didatangkan sekali dengan sebuah S Pen yang tiada pada model sebelumnya. Ia telah dinaik taraf tahap sensitivitinya kepada 4,096 level selain tahap ketajaman ditingkatkan kepada 0.7mm.
Bukan itu sahaja, fungsi S Note turut diperbaharui dengan menyediakan beberapa fungsi baru, di mana kesemua nota, memo, imej yang dipilih menggunakan S Pen akan disimpan di dalam aplikasi Samsung Notes.
Empat Buah Speaker
Pengalaman berhiburan kini lebih menyeronokkan dengan kehadiran empat buah speaker yang terletak dua di bahagian atas dan dua di bahagian bawah.
Lebih istimewa, ia telah ditala oleh AKG dari Harman pertama dihasilkan untuk tablet yang sememangnya mampu menghasilkan audio berkualiti tinggi serta kedengaran lebih lantang dan jernih.
Penggambaran Utama & Depan
Tidak seperti kebanyakan tablet yang ada di pasaran hari ini, Samsung hadir dengan fungsi penggambaran yang sangat memuaskan, di mana kamera utama dipertingkatkan kepada 12 Megapiksel berbanding 8 Megapiksel sebelum ini serta hadir dengan sokongan LED flash.

Manakala kamera hadapan pula beresolusi 5 Megapiksel turut menyokong mod Beautification yang boleh dilaraskan mengikut kehendak pengguna sendiri.
Permainan Mudah Alih
Paparan skrin yang besar sememangnya memberi kepuasan kepada pengguna untuk bermain permainan mudah alih di dalam tablet ini. Lebih menyeronokkan, Samsung Galaxy Tab S3 menyokong Vulkan API yang menyalurkan grafik lebih baik dan berasa lebih lancar. Jadi, tidak menjadi masalah kepada penggemar permainan mudah alih untuk bermain permainan HD di dalam tablet ini tidak kira di mana sahaja berada.
Pilihan Permainan:-
- Hearthstone Heroes of Warcraft
- Megapolis
- Empire four kingdoms
- World of Tanks Blitz
- Cut the Rope Magic
ZON UJIAN
ZON UJIAN 1 : PERBANDINGAN SPESIFIKASI
Kepada yang bercadang untuk membeli tablet, perkara utama yang sering dilakukan oleh pengguna sudah tentunya dengan membandingkan beberapa model yang dijual pada harga setanding mahupun lebih murah di pasaran. Jadi bagi membantu pengguna diluar sana untuk membuat keputusan, kami telah membandingkan Samsung Galaxy Tab S3 dengan dua model lain yang mempertaruhkan fungsi seakan sama iaitu Apple iPad Pro 9.7″ dan juga ASUS ZenPad 3S 10.
ZON UJIAN 2 : BENCHMARK
Tidak dinafikan lagi bahawa keupayaan prestasi pemproses Qualcomm Snapdragon 820 yang disokong oleh Samsung Galaxy Tab S3 dianggap agak baik secara keseluruhannya dan setanding jika dibandingkan dengan pesaingnya yang lain di pasaran. Apa yang pasti, sokongan pemproses ini menjanjikan penggunaan tenaga yang lebih efisien dan sesuai untuk anda yang gemarkan permainan mudah alih.
ZON UJIAN 3 : PENGECASAN PANTAS
Walaupun hanya dibekalkan dengan bateri berkapasiti 6000mAh, Samsung Galaxy Tab S3 telah dilengkapi dengan teknologi Power saving. Fungsi ini mampu menjimatkan bateri tablet ini dan masa penggunaan yang agak panjang berbanding dengan penggunaan biasa. Lebih menariknya, masa mengecas juga terasa jauh lebih pantas dengan adanya sokongan pengecas pantas yang dikenali sebagai Fast Charging yang mampu mengecas dari 5% hingga 100% dalam masa kurang daripada 3 jam sahaja.
- Samsung Galaxy Tab S3 mula dicas apabila bateri hanya tinggal 5%.
- Selepas 30 minit dicas, peratusan bateri naik sebanyak 27%.
- Selepas 60 minit dicas, peratusan bateri naik sebanyak 50%.
- Masa yang diambil untuk mengecas penuh Samsung Galaxy Tab S3 berkapasiti 6000mAh adalah 2 jam 35 minit.
AKSESORI
Samsung Galaxy Tab S3 Cover Ι Harga: RM 199

Samsung juga telah menyediakan casing untuk tablet ini yang diberi nama Samsung Galaxy Tab S3 Cover. Apa yang menariknya, ia menampilkan rekaan nipis dan ringan dengan kemasan matte yang lembut bagi menyerlahkan lagi gaya si pemakainya.

Selain dapat melindungi tablet anda ketika jatuh dengan pelindungan yang tersedia, casing ini turut dapat dijadikan sebagai stand dengan melipat pada panel belakang (seperti gambar yang ditunjukkan).


HASIL GAMBAR




KOMEN
Kepada mereka yang mencari sebuah tablet hebat dengan pelbagai fungsi menarik, Samsung Galaxy Tab S3 adalah pilihan yang tepat! Walaupun menawarkan harga yang agak tinggi iaitu mencecah RM3,000, namun ia adalah sebuah tablet berkuasa!
Istimewanya, ia dilengkapi dengan sebuah S Pen yang tiada pada model sebelum ini. S Pen yang disediakan bukanlah S Pen biasa-biasa kerana telah dinaik taraf tahap sensitivitinya kepada 4,096 level selain tahap ketajaman ditingkatkan kepada 0.7mm. Bukan itu sahaja, fungsi S Note turut diperbaharui dengan menyediakan beberapa fungsi baru.
Menampilkan rekaan lebih kompak dan nipis dengan ketebalan hanya 6mm sahaja, peranti ini sesuai untuk mereka yang ingin menyambung kerja pejabat di rumah kerana menyediakan beberapa aplikasi seperti Microsoft Apps (Word, Excel, PowerPoint, OneNote), S Note, Scrapbook, Smart Manager dan pelbagai lagi.
Namun begitu, terdapat beberapa kelemahan tablet ini yang dapat dilihat. Ketiadaan tempat untuk meletakkan S Pen agak mengecewakan kerana ia membolehkan S Pen hilang. Bukan itu sahaja, Tablet ini juga tidak menyokong pengiktirafan tahan lasak yang menjadi tren pada hari ini.










