

TikTok Shop, platform e-dagang yang dipercayai di Malaysia, hari ini mengumumkan suntikan tambahan bernilai RM20 juta ke dalam ekonomi digital tempatan melalui #JomLokal Booster Stimulus Package, bagi meningkatkan sokongan terhadap PMKS tempatan serta produk keluaran Malaysia.
Pengarah Kanan Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz, berkongsi: “Sejak 2023, sumber dan pendedahan khusus yang disalurkan kepada ribuan PMKS Malaysia melalui inisiatif #JomLokal yang dijalankan secara berterusan telah mendorong pertumbuhan mampan produk buatan tempatan. Dengan #JomLokal Booster Stimulus Package bernilai RM20 juta ini, kami memperkukuh lagi komitmen untuk mengekalkan ekosistem e-dagang yang inklusif, dengan melabur semula ke dalam ekonomi digital Malaysia serta komuniti tempatan kami.”
Ucapan Pembuka oleh Nur Azre Abdul Aziz, Pengarah Kanan Kerjasama Strategik, TikTok Shop Malaysia.
Timbalan Menteri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Senator Datuk Dr. Hajah Fuziah Binti Salleh yang merasmikan majlis pelancaran #JomLokal Booster Stimulus Package, menekankan: “Visi Malaysia untuk menjadi negara berteraskan digital bergantung pada kesiapsiagaan usahawan tempatan untuk menerima inovasi. Inisiatif #JomLokal adalah langkah bermakna ke arah itu, dan membuktikan bagaimana pemain industri dapat membantu meringankan kos operasi PMKS untuk turut serta dalam ekonomi digital. Kami mengalu-alukan komitmen berterusan TikTok Shop dalam membangunkan ekosistem e-dagang inklusif, yang membolehkan rakyat Malaysia menjana pendapatan mampan secara dalam talian.”
Tambah beliau lagi, “Kempen #JomLokal bukan sekadar platform untuk menjual produk tempatan, lebih penting lagi, ia menjadi saluran untuk kita membina ekosistem digital yang mampan. Ekosistem ini bukan sahaja menjana manfaat ekonomi, malah memupuk sebuah masyarakat yang lebih inklusif, patriotik dan berdaya saing. Saya yakin dengan usaha berterusan, kita mampu meletakkan Malaysia sebagai negara contoh yang berjaya menyatukan teknologi, keusahawanan dan identiti kebangsaan dalam satu kerangka yang unik.”

YB Senator Datuk Dr. Hajah Fuziah Binti Salleh, Timbalan Menteri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengunjung gerai Seller TikTok Shop di Pesta #JomLokal.
Bagi menyertai #JomLokal Booster Stimulus Package, PMKS perlu mempunyai penyenaraian produk aktif, kurang daripada 200 pesanan bulanan, dengan jumlah nilai dagangan kasar (GMV) bulanan di bawah RM1,000 di TikTok Shop. Setiap penjual yang layak akan menerima pengecualian yuran komisen bernilai RM1,000 sehingga 120 hari serta Baucar Promosi Iklan bernilai RM50 yang ditanggung oleh platform*.
Pengecualian yuran komisen ini merupakan sokongan tambahan khusus kepada PMKS di bawah inisiatif #JomLokal, berbeza daripada Program Faedah Penjual Baharu TikTok Shop yang terbuka kepada semua penjual baharu di platform.
Selain itu, #JomLokal Booster Stimulus Package turut menaja iklan untuk mempromosikan produk buatan Malaysia melalui sepanduk carian dalam aplikasi TikTok, yang akan dipaparkan apabila pengguna mencari kata kunci yang berkaitan. Ini akan terus meningkatkan pendedahan dan trafik bagi PMKS tempatan sepanjang tahun, seiring dengan trend peningkatan penggunaan fungsi carian TikTok Shop dalam kalangan pengguna Malaysia bagi penerokaan dan pembelian produk.
Semua PMKS yang menyertai #JomLokal Booster Stimulus Package juga layak menggunakan mana-mana TikTok Shop LIVE Hub di seluruh Malaysia secara percuma untuk maksimum 10 sesi (dua jam setiap sesi). Tempahan awal melalui akaun rasmi @stesenliveiks adalah diperlukan, tertakluk kepada ketersediaan — berdasarkan ‘siapa cepat, dia dapat’.
Seiring dengan aspirasi untuk mengurangkan halangan penyertaan ke dunia e-dagang, TikTok Shop turut memperhebat usaha peningkatan kemahiran PMKS melalui siri pendidikan dan latihan #JomLokal, yang merangkumi bengkel ‘Shoppertainment’, pemadanan pencipta kandungan, serta webinar mingguan.
PMKS tempatan yang berminat menyertai #JomLokal Booster Stimulus Package TikTok Shop boleh melayari: https://vt.tiktok.com/ZSHnGjU19AS2Q-diPpr/
Untuk maklumat lanjut tentang inisiatif #JomLokal TikTok Shop, sila layari: https://vt.tiktok.com/ZSALqUU6v/

