

Ninja Van Malaysia telah menganjurkan Panel Perbincangan ScamMinar sulung bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Raymon Ram, Pengasas dan Pengarah Urusan Graymatter Forensic Advisory Sdn. Bhd., sebagai usaha menangani peningkatan mendadak kes penipuan yang semakin membimbangkan di seluruh negara, khususnya di Lembah Klang. Antara sorotan utama ScamMinar ini ialah majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Ninja Van Malaysia dan PDRM, yang menzahirkan komitmen bersama dalam memerangi penipuan berkaitan bungkusan, meningkatkan kesedaran awam, dan memperkukuh keupayaan penguatkuasaan bersama demi melindungi pengguna di seluruh Malaysia.
Pada tahun 2024, sebanyak 35,368 kes penipuan telah dilaporkan, mengakibatkan kerugian kewangan sebanyak RM1.6 bilion. Walaupun penipuan hadir dalam pelbagai bentuk, penipuan terhadap pembeli dalam talian dikenal pasti sebagai ancaman yang semakin meningkat. Dalam tahun yang sama, Ninja Van Malaysia merekodkan lebih daripada 17,000 kes penipuan, dengan 40% daripadanya tertumpu di Lembah Klang sahaja. Trend ini terus meningkat pada tahun 2025, dengan lebih 3,500 laporan penipuan diterima dalam suku pertama tahun ini, melebihi jumlah yang direkodkan dalam mana-mana suku tahun sebelumnya. Kebanyakan kes ini melibatkan penipuan Bayar Semasa Terima (COD), penipuan bungkusan palsu, dan penipuan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Walaupun turut menjadi sasaran penipuan ini, Ninja Van Malaysia tetap tegas dalam pendiriannya dengan terus mendidik orang ramai dan meningkatkan kesedaran melalui pelbagai inisiatif, termasuk makluman penipuan dan kandungan pendidikan di media sosial. Ketekalan penipuan ini menekankan kepentingan pendidikan awam yang berterusan serta kerjasama pelbagai pihak dalam melindungi pengguna. Acara ini turut menampilkan sesi panel oleh pakar, yang merangkumi tanda amaran penipuan pembelian dalam talian, taktik penipuan yang semakin berkembang, tip perlindungan data, dan cara melaporkan aktiviti mencurigakan.
Lin Zheng, Ketua Pegawai Eksekutif Ninja Van Malaysia berkata, “Di Ninja Van Malaysia, tanggungjawab kami melebihi sekadar logistik. Sebagai pemain utama dalam industri ini, kami mempunyai kewajipan untuk mendidik orang ramai mengenai ancaman penipuan yang semakin meningkat. ScamMinar ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk bukan sahaja menghantar bungkusan, tetapi juga menyampaikan kepercayaan dan keselamatan. Penipu semakin bijak, tetapi melalui kesedaran, pendidikan dan kerjasama, kita boleh sentiasa mendahului mereka selangkah.”
Yap Huat Tian, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (Risikan/Operasi) Selangor, PDRM berkata, “Pendidikan awam dan kerjasama antara agensi adalah penting dalam menangani gelombang penipuan yang semakin meningkat. Inisiatif seperti ScamMinar menyediakan platform penting untuk menyampaikan maklumat kepada komuniti yang terdedah dan memperkasakan mereka dengan ilmu untuk melindungi diri. Kami memuji usaha proaktif Ninja Van Malaysia dalam usaha melibatkan seluruh negara ini.”
Raymon Ram, Pengasas dan Pengarah Urusan Graymatter Forensic Advisory Sdn. Bhd. berkata, “Penipuan menjejaskan kepercayaan awam, bukan sahaja terhadap perniagaan, malah juga terhadap institusi yang sepatutnya melindungi kita. Ia mengeksploitasi kelemahan tadbir urus, kelompongan digital, dan kurangnya kesedaran pengguna. Di Transparency International Malaysia, kami percaya bahawa usaha memerangi penipuan perlu melangkaui penguatkuasaan, ia memerlukan integriti, ketelusan dan kepekaan masyarakat.”
“Kami berbangga menyokong ScamMinar oleh Ninja Van Malaysia sebagai satu inisiatif tepat pada masanya yang menonjolkan kuasa kolaborasi antara penguatkuasa undang-undang, sektor swasta dan masyarakat sivil. Hanya melalui pendidikan berterusan, amalan korporat yang beretika, dan kerjasama pelbagai pihak barulah kita mampu menggugat ekosistem yang membolehkan penipuan terus berleluasa,” tambah beliau.
Dengan menghimpunkan orang awam, agensi kerajaan dan pihak industri, ScamMinar oleh Ninja Van Malaysia telah membuktikan kuasa tindakan komuniti dan pendidikan proaktif. Ini merupakan antara langkah utama dalam memerangi ancaman penipuan yang semakin membimbangkan.

