Digi Kumpul Data Kesejahteraan Digital Pelajar Sekolah Melalui Kaji Selidik!!

Digi Telecommunications Sdn Bhd (“Digi”) melancarkan kaji selidik ‘Kehidupan dalam Talian Kanak-kanak sepanjang Wabak COVID-19: Nilai dan Cabaran’ Yellow Heart. Ia bertujuan mengenal pasti bagaimana pelajar sekolah di Malaysia menyesuaikan diri dengan gaya hidup digital yang baharu semasa pandemik ini. Ini termasuk bagaimana situasi tersebut mempengaruhi literasi dan daya tahan digital pelajar dalam menghadapi potensi risiko dalam talian.

Digi menyasarkan untuk mengumpul maklum balas daripada sekurang-kurangnya 2,000 pelajar sekolah di seluruh negara, berumur 10 hingga 18 tahun. Kaji selidik ini akan dijalankan selama sebulan bersempena dengan Hari Belia Antarabangsa pada minggu hadapan. Ia akan dilakukan secara dalam talian di https://www.surveymonkey.com/r/YHSurvey2021?lang=ms sehingga 6 September 2021.

Kaji selidik ‘Kehidupan dalam Talian Kanak-kanak sepanjang Wabak COVID-19: Nilai dan Cabaran’ ini adalah kajian gaya hidup digital terbaharu Digi yang akan dijalankan dengan kerjasama Universiti Sunway sebagai rakan analisis penyelidikan, serta AI Talent-PDC dan Kelab Lions Sunway Damansara Metro sebagai rakan pelaksana. Sebelum ini, Digi telah berjaya mengumpul maklumat berkaitan dengan tahap kefahaman pelajar mengenai buli siber melalui kaji selidik “Digi Yellow Heart Cyberbullying and Youth Disposition” yang diadakan pada tahun 2018.

Melalui inisiatif Yellow Heart, Digi menggalakkan penggunaan internet yang selamat dan mendukung usaha membina daya tahan digital dalam kalangan pelajar sekolah. Baru-baru ini, Digi telah meraikan ulang tahun ke-10 program Safe Internet yang bertujuan memperkasa rakyat Malaysia untuk menjadi pengguna dalam talian yang bertanggungjawab. Sebagai usaha melengkapkan rakyat Malaysia dengan bahan serta pengetahuan berkaitan dengan keselamatan internet, Digi telah menyediakan beberapa sumber seperti portal Yellow Heart Safe Internet, iaitu portal sehenti yang mengandungi pelbagai bahan pendidikan seperti buku panduan, video dan modul untuk ibu bapa serta kanak-kanak.

Di samping itu, Digi juga bekerjasama dengan UNICEF Malaysia, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menyediakan pembelajaran

Kemahiran Masa Hadapan melalui platform Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) agar pelajar sekolah di Malaysia dapat menikmati pelbagai peluang pembelajaran menerusi internet. Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif Yellow Heart Digi, layari https://www.digi.com.my/yellow- heart.

You might also like