Tidak Perlu Lagi Ke Bank Untuk Buka Akaun Bank – Hong Leong Tawar Proses ‘ON-BOARDING’ Digital Menerusi Aplikasi Apply@HLB

Berikutan penerbitan garis panduan Electronic Know-Your-Customer (eKYC) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 30hb Jun 2020, Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank (HLB) merupakan bank pertama di Malaysia yang menawarkan sistem ‘on-boarding’ digital untuk warga Malaysia yang ingin membuka akaun. Proses baharu pembukaan akaun bank ini beralih sepenuhnya secara digital serta tidak lagi memerlukan pelanggan untuk mengunjungi cawangan Bank atau Terminal Layan Diri.

   


Bermula hari ini, pelanggan hanya perlu memuat turun aplikasi ‘Apply@HLB’ untuk membuka akaun di mana-mana dan bila-bila sahaja, manakala kad debit akan dihantar ke mana sahaja mereka berada di dalam negara. Cara perbankan mudah dan lancar ini bersesuaian dengan situasi semasa di mana COVID-19 terus menimbulkan kerisauan berhubung kesihatan, selain mencetuskan peralihan kepada gaya hidup digital.

Dengan aplikasi ‘Apply@HLB’, membuka akaun bank boleh dilakukan dengan tiga langkah mudah bila-bila dan di mana sahaja. Pelanggan hanya memerlukan MyKad untuk proses ini.  

  1. Sahkan identiti dengan kad pengenalan dan swafoto
  2. Isikan maklumat peribadi
  3. Cipta nama pengguna dan kata laluan untuk HLB Connect, bagi mengakses perkhidmatan perbankan dalam talian dan mudah alih setelah akaun dibuka 

Warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas layak memohon pembukaan akaun HLB melalui aplikasi ‘Apply@HLB’, yang boleh dimuat turun di Google Play, App Store dan Huawei AppGallery. Untuk maklumat lanjut tentang ‘Apply@HLB’, sila layari www.hlb.com.my/apply.

You might also like