
AMD Kini Memegang Lebih 50% Pasaran CPU Berprestasi Tinggi Dunia
AMD telah meningkatkan pegangan pasaran CPU untuk 10 suku berturut-turut, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Lisa Su semasa pembentangan laporan kewangan terbaru AMD. Menunjukkan AMD semakin laju mengejar Intel semenjak 30 bulan yang lalu. Dengan barisan produk baru yang berkualiti pada harga yang rendah berbanding Intel, mereka kini dilaporkan telah pun memegang lebih 50% pasaran CPU berprestasi tinggi dunia.

Pemproses AMD Ryzen 3000 yang secara rasmi dikenali sebagai Gen ke-3 Ryzen dilancarkan pada Julai lalu bersama dengan GPU Navi AMD yang kini dikenali sebagai RDNA dan siri RX 5000. CPU Ryzen adalah yang pertama dalam segmen pelanggan yang dibina dengan chiplet 7nm milik rakan kongsi AMD, iaitu TSMC. Cip dengan senibina Zen 2 menawarkan peningkatan IPC (arahan per jam) yang besar berbanding model terdahulu, Zen +, yang membantu dalam lonjakan prestasi.

Pembinaan chiplet senibina Zen 2 juga menawarkan ruang kepada AMD untuk membina Ryzen 9 3950X 16-teras dan Ryzen 9 3900X 12-teras tanpa perlu meletakkan harga yang terlalu tinggi buat pengguna. Tidak dinafikan bahawa Ryzen 9 3950X bukanlah murah, namun jika dibandingkan dengan pesaing lain pada aras prestasi, susah untuk kita mendapatkan cip seumpamanya pada harga yang ditawarkan AMD.
Kini jualan segmen komputer dan grafik suku pertama syarikat AMD (termasuk rangkaian produk Ryzen dan Radeon) telah meningkat 73% dari tahun ke tahun, dengan jumlah pendapatan sebanyak $1.44b. AMD kini di dalanm kedudukan yang cukup selesa untuk terus mengukuhkan nama mereka di dalam pasaran cip dan grafik dengan keuntungan yang mereka capai, pendapatan ini dilihat akan menggiatkan lagi usaha AMD di dalam RnD produk terbaru mereka.

