Sony RX100 VI – Rekaan Kompak Dengan Keupayaan 8x Optikal Zoom

Sony RX100 VI adalah kamera kompak dengan ciri-ciri premium untuk menggantikan RX100 V yang diperkenalkan pada penghujung 2016. Terdapat beberapa perubahan yang ditawarkan oleh Sony, salah satunya adalah keupayaan fungsi optikal zoom sehingga 8x berbanding hanya 2.9x sahaja pada model sebelum ini.

Selain itu, Sony juga memaklumkan kamera digital ini hadir dengan fungsi auto fokus terpantas di dunia apabila boleh membidik fokus sepantas 0.03 saat menggunakan teknologi auto fokus dual piksel. Walaupun masih menggunakan sensor 1″ 20.1 Megapiksel, tetapi sistem buffer-nya telah ditambahbaik. Hasilnya, anda boleh mengambil gambar sehingga 233 keping gambar berterusan.

Tidak banyak kamera digital kompak yang masih mengekalkan viewfinder pada rekaannya, tetapi RX100 VI menyediakan paparan skrin berukuran 3.0 inci OLED yang boleh dipusing sehingga 180 darjah. Menyokong rakaman video 4K, Sony RX100 VI masih mengekalkan penggunaan bateri NP-BX1 yang memiliki hayat bateri yang agak terhad.

Kepada yang berminat, kamera digital kompak ini dijual pada harga USD1,200 (kira-kira RM4,762). Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman rasmi Sony.

You might also like