
Xiaomi Mi 10 Mungkin Peranti Pertama Di Dunia Sokong RAM LPDDR5? Biar Betul?
Menerusi laporan sebuah sumber, Micron secara rasminya telah mengeluarkan cip LPDDR5 pertama hari ini dan mengumumkan bahawa Xiaomi Mi 10 akan menjadi peranti pertama yang didatangkan dengan cip tersebut.
Selepas tularnya berita tersebut, timbalan pengurus besar jabatan pemasaran Xiaomi iaitu Zang Zhiyuan juga dikatakan berkongsi berita yang sama seakan-akan memberi gambaran bahawa Xiaomi Mi 10 akan menjadi peranti dengan sokongan Snapdragon 865 + LPDDR5 yang pertama di dunia.

Bercakap mengenai prestasi, memori LPDDR5 menggunakan teknologi terkemuka industri untuk 12GB RAM. Ia menawarkan kuasa yang lebih rendah dengan mempunyai kadar pemindahan data sepantas 6.5Gbps. Dari segi kelajuan, ia dikatakan dua kali pantas berbanding LPDDR4 dan 20 peratus lebih baik daripada LPDDR4x RAM – meningkat sebanyak 50 peratus. Menerusinya, proses penggunaan aplikasi lebih pantas dan penjimatan bateri adalah lebih 5% hingga 10%.

Berbanding dengan standard LPDDR4, kelajuan I / O LPDDR5 meningkat daripada 3200 MT / s kepada 6400 MT / s (kelajuan DRAM 6400Mbps). Ia juga berupaya merakam video 8K dengan bantuan Snapdragon 865. Penambahan baikan pada LPDDR5 pasti meningkatkan prestasi Xiaomi 10 – ia pasti akan menjadi penanda aras baharu untuk segment peranati perdana generasi seterusnya pada tahun ini.

