
Xiaomi Malaysia sekali lagi menggegarkan pasaran tempatan dengan kemunculan pewaris baru mereka iaitu Redmi Note 8 Pro. Berbekalkan serba serbi pakej terbaik, Redmi Note 8 Pro mempunyai keistimewaan tersendiri yang membezakannya dengan sejumlah peranti sedia ada.

Binaan menawan, prestasi berkuasa kuda dan sokongan kamera mantap berjaya menyerlahkan lagi keunikan pada peranti. Tidak keterlaluan jika dikatakan, Redmi Note 8 Pro antara smartphone mempunyai magis yang tiada tandingannya! Jom kita lihat 8 sentuhan magis pada sang juara ini!
1) Lensa Utama 64MP
Part paling menarik pada Redmi Note 8 Pro terletak pada persediaan barisan kamera yang luar biasa – lensa utama 64MP (sensor Samsung ISOCELL Bright GW1) dan diiringi tiga lagi lensa dengan tugas masing – masing seperti 8MP (Ultra lebar) + 2MP (Makro) + 2MP ( Depth). Jika diteliti, mod penggambaran biasa telah disetkan pada 16MP.

Jika ingin mendapatkan penggambaran pada mod 64MP, ia boleh diakses menerusi tetapan pada kamera. Keupayaan kamera utama ini harus dipuji kerana ia memiliki magis tersendiri dalam mempersembahkan imej. Setiap imej terhasil dilihat tajam dengan keunggulan pada tahap terbaik tanpa cela. Di samping itu, ia juga dilihat berjaya menggabungkan setiap perincian pada imej dengan baik.
2) Paparan Luas
Paparan skrin ini juga direka dengan teliti bagi memenuhi kehendak pengguna menginginkan kesempurnaan dalam segala hal. Redmi Note 8 Pro membawakan paparan berukuran 6.53” FHD+ dengan rekaan Dot Drop display. Rekaan takuk ini kelihatan kemas dan tidak mengganggu penglihatan pengguna sama sekali. Lebih menarik, ia juga menerima pensijilan TÜV Rheinland – paparan dengan cahaya biru rendah (low-blue light) sekaligus membuktikan ia selamat digunakan walaupun pada tempoh masa yang panjang. Menariknya lagi, ia juga didatangkan dengan lampu notifikasi berbedakatan notch.

3) Reka Bentuk Menawan
Redmi Note 8 Pro didatangkan dengan reka bentuk yang sangat mengiurkan lebih-lebih lagi pada bahagian belakang peranti. Rekaan indah yang disajikan dilihat cukup memukau pandangan dan menyerlahkan lagi keterampilannya. Dalam pada itu, Xiaomi juga bijak dalam memilih material binaan untuk Redmi Note 8 Pro – di mana mereka menggunakan bahan yang berkualiti tinggi untuk ketahanan jangka panjang.
Selain itu, kerangka yang melengkung pada bahagian sisi membuatkan peranti selesa untuk dipegang. Redmi Note 8 Pro didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu Pearl White, Forest Green dan Mineral Grey. Nak nampak istimewa? Warna yang agak menarik adalah Pearl White – mempunyai gabungan warna putih berkilat bersama lapisan merah jambu agak nipis. Selain itu, Forest Green juga menarik – membawakan keindahan warna hijau zamrud yang pastinya mempersona setiap mata memandang.
4) Prestasi Hebat
Antara topik yang menjadi perbualan hangat mengenai Redmi Note 8 Pro adalah cip pemproses yang digunakan iaitu MediaTek Helio G90T. Bagi segelintir orang, mereka mungkin beranggapan bahawa ia tidak baik dan cepat panas. Tapi, percaya atau tidak? Cantik di luar, dalaman juga memberikan imej yang sama apabila sepanjang tempoh penggunaan, penulis tidak mengalami sebarang isu berat.
Bermain game secara berterusan juga tidak menyebabkan masalah panas yang melampau. Ia berikutan peranti ini dilengkapi teknologi penyejukan LiquidCook bagi penyebaran haba lebih baik – mengurangkan suhu peranti sebanyak 4 – 6 darjah berbanding model lain. Beralih pada ujian penanda aras, Redmi Note 8 Pro berjaya mencatatkan skor sebanyak 280,419 mata dalam ujian Antutu. Untuk ujian Geekbench 5 pula, peranti ini mencatatkan skor 501 mata untuk ujian tunggal dan 1,619 mata untuk ujian pelbagai teras.
5) Bateri Boleh Tahan – 4,500mAh + 18W Fast Charge
Redmi Note 8 Pro dibekalkan dengan bateri berkapasiti 4,500mAh dengan sokongan pengecasan 18W. Dengan bekalan ini, penggunaan peranti dalam jangka masa yang lama boleh dikatakan hampir tiada masalah. Untuk penggunaan maksimum, ia mampu bertahan sehingga sehari suntuk dengan pengisian penuh. Manakala, untuk penggunaan biasa pula ia berupaya bertahan mencecah hingga 48 jam.
6) MIUI 10 – Aplikasi Lebih Lancar
Redmi Note 8 Pro menggunakan sistem operasi MIUI10 – perisian yang penuh dengan penampilan lebih segar. Bukan itu sahaja, malah ia juga membentangkan beberapa keupayaan baru yang meningkatkan prestasi peranti untuk pengalaman lebih baik. Dalam pada itu, paparan UI yang dipersembahkan juga nampak menarik sekaligus menjadikan peranti lebih optimum untuk penggunaan skrin penuh. Secara keseluruhannya, penggunaan untuk multitasking terasa begitu selesa.
7) NFC
Redmi Note 8 Pro dilengkapi sokongan NFC dan ia merupakan yang pertama dalam barisan siri Redmi Note yang dibekalkan dengan ciri ini. Melalui ciri ini, ia membolehkan pengguna menukar peranti untuk berfungsi seolah-olah dompet maya.

8) Harga Terbaik Pada Kelasnya
Redmi Note 8 Pro ditawarkan dalam dua varian pada harga yang sangat mampu milik iaitu RM1,099 (6GB + 64GB) dan RM1,199 (6GB + 128GB). Bagi yang berminat, korang boleh dapatkan menerusi beberapa saluran berbeza termasuk pengedar sah Xiaomi di seluruh Malaysia, Lazada dan Shopee.
































