Siri HUAWEI Mate 30 Rasmi – Sokong Kirin 990 + 4 Kamera Utama + Bateri Lebih Besar

Akhirnya muncul! HUAWEI kini secara rasmi memperkenalkan siri Mate terbaru mereka iaitu HUAWEI Mate 30 dan HUAWEI Mate 30 Pro. Kemunculan peranti ini sememangnya amat ditunggu-tunggu oleh ramai pecinta gajet di seluruh dunia.

Ia juga dilihat membawakan penambahbaikan lebih baik berbanding generasi sebelumnya. Lebih menarik, kamera utama untuk model kali ini dikatakan menyokong video gerak perlahan yang menakjubkan – 720P 7680 bingkai sesaat.

 

HUAWEI MATE 30

HUAWEI Mate 30 membawakan paparan bersaiz 6.62″ FHD+ Rigid OLED dengan HUAWEI Horizon Display. Paparan hadapan peranti dilihat menyertakan takuk kecil yang menempatkan kamera hadapan sebesar 24MP. Sokongan pengimbas cap jari diletakkan pada paparan skrin dan ia menyokong kalis air pada tahap  IP53.

Enjin dalaman peranti dikuasakan oleh cip terbaharu iaitu Kirin 990 5G SoC dan dibantu memori 8GB RAM serta storan 128GB ROM. Melengkapinya adalah bateri berkapasiti 4,200 mAh dengan pengecasan pantas 40W. Ia juga menyokong 27W Wireless HUAWEI Supercharge. Untuk jambatan kamera, HUAWEI Mate 30 membawakan persediaan empat kamera utama dengan gabungan lensa 40MP + 16MP + 8MP + Laser Focus.

 

HUAWEI MATE 30 Pro

HUAWEI Mate 30 pro dilengkapi skrin berukuran 6.53″ FHD+ Flex OLED (2400×1176 pixel ) dengan rekaan HUAWEI Horizon Display. Apa yang menarik perhatian adalah – sisi lengkungan peranti dikatakan mencecah sehingga 95%. Ia menyertakan sokongan pengimbas cap jari terbina dalam skrin dan mengekalkan sistem imbasan wajah secara 3D.

Untuk enjin dalaman, ia dikuasakan oleh cip pemproses Kirin 990 5G SoC dan dibantu memori 8GB RAM dan storan 256GB. Melengkapinya, bateri berkapasiti 4,500 mAh dengan pengecasan pantas 40W. Lebih menarik, ia juga menyokong 27W Wireless HUAWEI Supercharge.

Untuk kamera, peranti ini juga dilengkapi empat kamera utama : 40MP + 40MP + 8MP + 3D Depth Sensing. Lensa 8MP (telephoto) pada peranti ini menyokong 3X zoom optikal / 30X digital dengan mekanisme periskop. Kamera hadapan pula dilengkapi lensa 32MP . Ia turut dilengkapi kemampuan kalis air pada tahap IP68.

 

Ketersediaan & Harga

Kedua-dua model ini tersedia dalam 6 warna menarik iaitu Emerald Green, Space Silver, Cosmic Purple, dan Black. Manakala, edisi khas dengan kemasan kulit vegan dalam warna Forest Green & Orange. Penawaran harga untuk kedua-dua model adalah seperti berikut :

  • HUAWEI Mate 30 (8GB + 128GB) – Euro 799 (~RM3,705)
  • HUAWEI Mate 30 Pro (8GB + 256GB) – Euro 1099 (~RM5,096)
  • HUAWEI Mate 30 Pro 5G (8GB + 256GB)  – Euro 1199 (~RM5,560)
  • HUAWEI Mate 30 Porsche Design (12GB + 512GB) –  Euro 2095 (~RM9,715)
You might also like