Acer Memperkenalkan Kereta Konsep Swapandu

ACER kini maju setapak kehadapan apabila memperkenalkan kereta konsep swapandu pertama mereka di acara Taiwan Automotive Technology Innovation Summit 2018 baru-baru ini.

Difahamkan kereta tersebut dibina hasil kerjasama dengan salah sebuah syarikat pengeluar kenderaan terkenal di Taiwan, Yulon Group bersama dua lagi syarikat di bawahnya iaitu Haitec dan Luxgen.

Ketiga-tiga syarikat itu bergabung tenaga bagi membina sebuah kereta swapandu level 4 berdasarkan kereta Luxgen S3, yang dimuatkan dengan pelbagai kelengkapan unik seperti kamera, LIDAR, radar MMW, IMU dan sensor ultrasonik untuk memastikan kenderaan dipandu secara dinamik.

Lebih menariknya, kereta berkenaan turut mempunyai sistem pengurusan awan untuk perkhidmatan perkongsian kereta yang mana memudahkan pusat kawalan menghantar kereta kepada pengguna apabila pesanan dibuat melalui peranti pintar.

Bukan itu sahaja, malah sistem pengurusan awan ini juga boleh mengurus penjadualan, pemantauan, pemberitahuan dan laporan, serta aspek keselamatan. Buat masa ini, ia masih dalam projek konsep dan pihak kami masih belum menerima sebarang maklumat berhubung bilakah Acer akan memasarkannya secara komersial.

You might also like