
IFA 2018: Huawei Lancarkan Kirin 980, Cip Pemproses 7nm Pertama Di Dunia
Huawei telah memperkenalkan cip pemproses mereka yang terbaru iaitu Kirin 980 pada IFA 2018, ia merupakan cip pemproses berevolusi serta berteknologi tinggi yang pertama di dunia dibina berasaskan 7nm.
Kirin 980 juga merupakan cip pemproses pertama yang menggunakan gabungan Cortex-A76 dan Cortex-A55, di mana ia mampu menawarkan 75% lebih berkuasa dan 58% lebih cekap berbanding generasi sebelumnya. Selain itu, sokongan kad grafik Mali-G76 juga menawarkan peningkatan sebanyak 46% pada prestasi grafik serta 178% kenaikan pada kecekapan tenaga.
Penggunaan Dwi NPU pada Kirin 980 turut membolehkan pelbagai tugasan AI dilaksanakan secara pantas, menurut Huawei ia mampu mengenalpasti sehingga 4,600 gambar setiap minit, bermakna ia 120% lebih pantas berbanding Kirin 970. Warna HDR yang lebih jitu dan tajam juga lebih mudah disampaikan dengan sempurna dengan adanya kehadiran sisem pemprosesan imej (ISP) generasi ke-4.
Bagi sokongan rangkaian pula, Kirin 980 dibekalkan modem LTE Cat.21 yang menawarkan kelajuan muat-turun sehingga 1.4Gbps, berbanding 1.2Gbps pada generasi sebelumnya. Peranti pintar pertama yang bakal menggunakan cip pemproses terbaru ini adalah Huawei Mate 20, yang dijadualkan akan dilancarkan pada bulan Oktober nanti.