ASUS ZenFone Live (L1) Berharga Dibawah RM400 Akan Mula Dijual Di Malaysia Tidak Lama Lagi

Selepas pengenalan ASUS ZenFone Max Pro (M1) bulan lalu, ASUS Malaysia kini dikhabarkan akan melancarkan ZenFone Live (L1) untuk pengguna tempatan. Melalui gedung telefon terkemuka, DirectD, telefon pintar ini akan dijual pada harga dibawah RM400 sekaligus meletakkan ia sebagai peranti kelas permulaan.

ZenFone Live (L1) hadir dengan paparan 5.5-inci IPS Full View 18:9 HD yang mana nisbah skrin-ke-kerangka mencapai 82 peratus. Ia dikuasakan cip empat-teras Qualcomm Snapdragon 425 dengan memori sehingga 2GB serta storan 16GB.

Jabatan kamera yang ringkas menerima sensor sehingga 13 Megapiksel f/2.0 bersama bantuan PDAF dan LED flash. Lain pula pada kamera depan, ia dipadankan sensor swafoto 5 Megapiksel f/2.4 dengan ciri PixelMaster salah satunya mod Beauty dan 8 jenis penapis (filter).

Bateri yang dibekalkan untuk telefon pintar ini ialah sebesar 3,000mAh dengan sambungan jenis microSD. Ciri lain yang dibawakan ialah sokongan slot untuk tiga kad SIM dan memori. Sistem operasi yang menjana peranti ini menggunakan Android Oreo dan antaramuka ZenUI 5 turut menawarkan ciri nyahkunci peranti melalui imbasan wajah.

ASUS ZenFone Live (L1) didatangkan dengan pilihan warna seperti Midnight Black, Space Blue, Shimmer Gold, dan Rose Pink. Telefon pintar ini akan mula dijual tidak lama lagi, dan maklumat lanjut kami akan khabarkan kepada anda sebaik ia rasmi kelak.

You might also like