
HMD Global hari ini telah memperkenalkan Nokia 7 Plus dan juga Nokia 1 secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Ditawarkan pada harga RM1,699 untuk Nokia 7 Plus, Nokia 1 pula berharga RM339. Kedua-dua peranti ini boleh dibeli bermula 13 April 2018 (Nokia 1) dan 20 April 2018 (Nokia 7 Plus).
Pelanggan turut diberikan hadiah percuma berupa sarung Xpress-on untuk setiap pembelian Nokia 1 yang berwarna Warm Red atau Dark Blue, sementara pembelian Nokia 7 Plus dengan pilihan warna Black/Copper atau White/Copper akan menerima kotak hadiah bernilai RM300 yang mengandungi tripod Bluetooth, lensa ‘fish eye’, lensar sudut lebar, dan lensa makro.

Hadiah yang ditawarkan bergantung kepada stok yang ada. Jadi siapa cepat, dia dapat. Bagaimanapun, penambahan sarung Xpress-on dengan warna lain boleh dibeli secara berasingan dengan tanda harga RM39.90.
Nokia 7 Plus adalah telefon pintar kelas-pertengahan dengan nisbah skrin 18:9 juga yang pertama menggunakan cip pemproses Snapdragon 660 dan diserikan bersama RAM 4GB serta storan 64GB. Ia hadir bersama paparan IPS LCD 6-inci HD penuh+ dengan tahap keterangan mencecah 500nits.

Kerangka badan peranti ini diperbuat daripada bahan berasaskan logam, malah dengan 6 lapisan warna ia tampak seperti peranti yang menggunakan panel gelas. Jadi, dengan kemasan yang dihasilkan peranti ini sangat selesa dipegang disamping jalur antena juga tidak kelihatan.
Pada bahagian penggambaran, peranti ini menggabungkan dua lensa kamera iaitu 12 MP dengan aperture f/1.75 dan 12 MP telefoto 2x zum bersama aperture f/2.6. Kamera depan pula, 5 Megapiksel lensa sudut-lebar dibantu aperture f/2.0. Kesemua sensor kamera menggunakan jenama Zeiss.

Sebuah lagi model kelas rendah yang diperkenalkan dalam pelancaran ini adalah Nokia 1 yang menyokong Android Go Edition. Menampilkan skrin berwarna 4.5-inci IPS LCD FWGA, ia dikuasakan pemproses MediaTek MT6737M. Memori dalaman pula dibekalkan RAM 1GB, serta storan 8GB yang boleh diperluaskan melalui kad microSD.
Tidak ketinggalan juga, kamera belakang menempatkan sensor 5 Megapiksel sementara kamera depan 2 Megapiksel. Peranti Android Oreo Go Edition ini dijana bateri sebesar 2,150mAh.
